Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius pembongkaran sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang dilaporkan berlaku di Johor baru-baru ini.
Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, siasatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dilakukan bagi mencari dalang sebenar di sebalik sindiket tersebut.
Rosol (kanan) beramah mesra dengan salah seorang pengguna pada Program Jualan Keluarga Malaysia di sebuah pasar raya di Manir di Kuala Terengganu hari ini.
“Kita tidak akan berkompromi. Tidak kisah dalang itu ahli politik, penjawat awam atau orang biasa sahaja, tindakan tegas pasti diambil kerana ia adalah satu pengkhianatan besar terhadap negara.
“Subsidi berkenaan sepatutnya dinikmati nelayan, petani dan penternak, namun kewujudan sindiket merosakkan rantaian bekalan,” katanya selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di sebuah pasar raya di Manir di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan sebuah sindiket dipercayai didalangi orang kenamaan mengaut keuntungan berpuluh juta ringgit dengan menjual minyak diesel bersubsidi tersebut di tengah laut di Johor.
Mengulas lanjut, Rasol berkata, KPDNHEP juga sedang mempertingkatkan penguatkuasaan bagi menangani ketirisan barangan bersubsidi termasuk diesel.
Jelas beliau, antara tindakan diambil ialah arahan melarang stesen minyak menjual RON 95 kepada kenderaan berpendaftaran asing di seluruh Malaysia.
“Bagi diesel pula, kita tetapkan had tertentu untuk pembelian di stesen minyak pada satu-satu masa,” katanya.
Sumber: KOSMO! ONLINE |