Isu perpindahan penyampai radio Fizi Ali ke stesen Hot FM tidak lagi menjadi bahan perbualan netizen. Bagaimanapun, namanya kembali menjadi sorotan apabila dikatakan menjadikan rakan setugasnya, Fad Bocey sebagai bahan lawak.
Menerusi paparan video yang dikongsikan oleh Hot FM di laman Facebook, pemilik nama sebenar Mohd Hafizudin Alimudin itu mengakui dirinya serba-sedikit sudah mengenali keperibadian Fad sepanjang dua minggu bertugas bersama.
Antara perkara yang dikatakan oleh Fizi adalah reaksi wajah Fad yang kelihatan seperti 'gangster' tetapi penggemar minuman koko. Tidak berhenti setakat itu, Fizi juga 'membahan' Fad yang takut pada pocong dan katak.
Bagaimanapun, netizen mengkritik jenaka Fizi yang dikatakan tidak 'menjadi' kerana tidak mendapat sambutan dan gelak ketawa daripada Fad.
Rata-ratanya menganggap ia adalah lawak hambar hingga dilabel sebagai 'DJ syok sendiri'. - CARI
|