Klip video memaparkan dua lelaki bertumbuk di lokasi tumpuan pelancong berdekatan bangunan Stadthuys di sini yang tular di sosial media sejak semalam adalah kejadian tiga tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dalam satu kenyataan media dikeluarkan memaklumkan perkara tersebut.
Tangkap layar pergaduhan tular antara dua lelaki.
“Pada 10 Ogos lalu (kelmarin) pihak polis mengesan satu rakaman video tular melibatkan pergaduhan dua lelaki di kawasan bangunan merah Stadthuys berdurasi 25 saat.
“Hasil siasatan kejadian tersebut berlaku pada tahun 2019 sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Jelasnya lagi, bagaimanapun tiada laporan polis dibuat semasa kejadian tersebut.
“Kedua-dua pihak juga telah menyelesaikan perkara ini secara baik tanpa melibatkan siasatan polis,” katanya.
Semalam, Kosmo! melaporkan sebuah klip video tular memaparkan tindakan dua lelaki bertumbuk di bulatan berdekatan bangunan Stadthuys di sini.
Video berdurasi 26 saat itu menunjukkan seorang lelaki dipercayai warga emas yang memakai baju biru saling berbalas tumbukan dengan lelaki berbaju hitam.
Di hujung rakaman, warga emas itu bagaimanpun dilihat terkena beberapa tumbukan di bahagian mukanya yang mengakibatkannya terjatuh ke atas jalan raya.
Sumber: KOSMO! ONLINE |