Pemilihan pelakon jelita dan tampan bagi memegang watak utama dalam sesebuah drama seolah-olah menjadi syarat wajib yang kebanyakan stesen televisyen berikan kepada penerbit.
Memetik laporan Berita Harian, pengarah dan pelakon, Ogy Ahmad Daud sama sekali tidak bersetuju dengan syarat yang dipraktikkan kerana baginya, paras rupa bukan 'rukun' untuk menjadi pelakon.
"Saya lihat, industri kita lebih fokus kepada fizikal dengan lelaki harus berwajah jambu atau badan six pack. Heroin pula mesti cantik sedangkan bagi saya, itu bukan rukun menjadi aktor.
"Aktor dituntut menjadi bijak dan cerdik. Contohnya Eman Manan antara aktor 'jantan'. Begitu juga Beto Kusyairy dan sekarang saya lihat potensi Fattah Amin.
"Saya nampak Fattah semakin matang. Dahulu dia dilabel 'kayu'. Tetapi ketika itu, dia mungkin belum matang sebagai aktor.
"Bagi saya, perkara itu normal dan memang proses perlu dilalui setiap pelakon. Saya dahulu pun pelakon 'kayu' ketika membintangi filem Hati Batu," katanya.
Bagi Ogy, bakat baharu tidak sepatutnya dibiarkan terkapai-kapai menimba ilmu sendiri. Sebaliknya, penerbit dan aktor senior perlu saling membantu agar dapat membina keyakinan pelakon baharu.
"Di luar negara, jika produksi mengambil pelakon baharu dan cipta satu watak, katakanlah filem epik, mereka akan asah pelakon itu mengikut karakter hingga berjaya.
"Suasana itu berbeza dengan di negara ini. Mereka campakkan pelakon baharu terkapai-kapai di set penggambaran. Apabila datang pelakon senior, mulalah terketar-ketar lutut mereka. Jika dapat pelakon senior yang memahami dan sudi berlatih sebelum masih set, tidak mengapa.
"Tetapi, bagaimana jika pelakon senior yang tidak beri muka, sebaliknya minta mereka belajar sebelum berlakon, tidakkah itu akan melutur dan menghancurkan semangat mereka," katanya. - CARI
|