Sumber IG
Penyanyi dangdut terkenal di Indonesia, Cita Citata mengejutkan peminatnya apabila dia tampil dengan imej bertudung.
Menurut laporan media tempatan Indonesia, pelantun lagu Goyang Dumang mengambil keputusan untuk bertudung tanpa paksaan dari mana-mana pihak apatah lagi dia sudah lama menyimpan hasrat untuk menutup aurat.
"Sebenarnya sudah lama saya berkeinginan untuk memakai hijab sejak dahulu lagi tanpa paksaan daripada orang lain.
"Mungkin hubungan saya dan kekasih, Didi Mahardika turut menjadi antara faktor yang mendorong saya untuk mengubah imej yang lebih baik. Tetapi, dia tidak pernah memaksa saya untuk berhijab," katanya.
Bukan hanya perubahan pada imej, wanita berusia 27 tahun itu juga mengambil keputusan dan mengumumkan untuk meninggalkan muzik dangdut yang selama ini mempopularkan namanya di persada seni.
"Benar, saya tidak lagi menyanyikan lagu dangdut. Sebenarnya sejak dari awal tahun lalu saya sudah melancarkan dan fokus dengan lagu pop. Saya juga tidak lagi menerima tawaran untuk membuat persembahan menyanyikan lagu-lagu dangdut.
"Saya sudah puas menjadi penyanyi dangdut. Biarlah perkara itu menjadi antara kenangan dalam hidup saya. Sekarang, saya mahu mempamerkan bakat nyanyian menerusi genre pop pula.
"Sangat susah untuk menarik perhatian peminat kerana mereka tahu saya adalah penyanyi dangdut. Saya masih orang sama cuma berbeza genre muzik sahaja.
"Saya harap peminat dapat terus memberikan sokongan kepada saya," katanya. - CARI
|