Balik Pulau: Lima lelaki berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki terbabas lalu menjunam ke dalam gaung di Jalan Teluk Bahang, di sini, hari ini.
Kesemua mangsa bagaimanapun hanya cedera dan dihantar ke Hospital Balik Pulau.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Bahang, Mass Rafiuddin Mass Ariffin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada 3.03 petang.
"Ketika anggota tiba di lokasi, didapati sebuah kereta dari arah Teluk Bahang ke Balik Pulau, menjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter selepas terbabas.
"Pemeriksaan mendapati, seramai lima mangsa di dalam kenderaan itu dan kerja penilaian dan kerja menyelamat segera dilakukan untuk mengeluarkan mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mass Rafiuddin berkata, kesemua mangsa berusia 20 tahun dan 21 tahun dan diserahkan keapda petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tindakan lanjut.
"Ini adalah kejadian kedua dalam tempoh lima tahun membabitkan kereta menjunam ke dalam gaung dan pengguna jalan raya dinasihati supaya berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan," katanya yang memberitahu operasi tamat 4.44 petang.