Pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor, 55, menyatakan sokongan terhadap larangan merokok, membeli atau memilik produk tembakau atau perantai rokok pada individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya.
Menerusi laporan mStar, Rosyam berkata, dia berharap seluruh rakyat Malaysia turut memberikan sokongan kepada Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 27 Julai lalu.
"YB Khairy Jamaluddin nak berhentikan orang daripada menghisap rokok, budak-budak yang lahir selepas 2007 dilarang merokok.
"Satu sahaja saya nak cakap kepada YB KJ, memang saya sokong 100 peratus, 300 peratus saya sokong," katanya.
Dalam pada itu, Rosyam turut mendedahkan dirinya mulai merasai kesan sampingan kesan tabiat buruk itu gara-gara mulai merokok sejak usianya 18 tahun.
Pada usianya sekarang ini, dia mudah semput malahan memanjat tangga pun membuatnya cepat penat.
"Saya dah hisap rokok sejak umur 18 tahun. Dan banyak duit habis. Umur 55 sudah semput. Naik tangga pun semput," katanya.
Tambah Rosyam lagi, sekiranya program berhenti merokok dijalankan, dia tidak akan teragak-agak untuk menyertainya kerana ingin meninggalkan tabiat buruk berkenaan. -CARI
|