|
GAMBAR HIASAN
Baling: Kerajaan tidak boleh menangguhkan lagi pembinaan penempatan baharu mangsa banjir Kampung Iboi, di sini, memandangkan kebanyakan penduduk yang terjejas hidup dalam keadaan tidak tenteram.
Pengerusi Jawatankuasa Komuniti dan Keselamatan Kampung Iboi, Abu Hassan Samah berkata, kebanyakan penduduk trauma kerana tiada jaminan daripada pihak berwajib kawasan penempatan mereka kini selamat didiami.
"Kejadian buruk boleh berlaku pada bila-bila masa. Malah, penduduk yang di pinggir tebing Sungai Kupang juga hidup dalam keadaan terumbang ambing.
"Mana nak cari rezeki, nak memikirkan tempat tinggal lagi," katanya.
Sementara itu, penduduk, Kassim Abdul Aziz, 67, dari Kampung Padang Empang, berkata, penempatan mereka tidak selamat lagi kerana setiap kali hujan lebat air melimpah masuk dalam rumah.
"Sampai bila kami nak hidup macam ni dan mencuci rumah setiap hari sehingga nak buat kerja lain tidak boleh.
"Kami perlu meneruskan hidup dengan selesa bukan dalam ketakutan dan berharap kerajaan dapat membina penempatan baharu dengan segera," katanya.
Seorang lagi penduduk, Siti Hajar Said, 34, berkata, kerajaan perlu membina penempatan baru di kawasan yang lebih selamat.
"Jangan berlaku kejadian kali kedua yang lebih dahsyat baru nak ambil tindakan segera.
"Setiap hari penduduk hidup dalam ketakutan dan tidak lena tidur apabila hujan, boleh dikatakan sejak kejadian 4 Julai lalu cuaca kerap hujan pada waktu petang," katanya yang mengakui anak-anak juga tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... rumah-baharu-segera |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|