Mayat pemandu jengkaut, Mohamad Nasir Awang Ali yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kawasan tapak pembinaan di Jalan Padang Tembak, ditemui pasukan bomba dan penyelamat. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
ALOR SETAR:
Pemandu jengkautyang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kawasan tapak pembinaan Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang sudah ditemui.
Mangsa, Mohammad Nasir Awang Ali, 40, ditemui meninggal dunia ketika operasi menyelamat dilakukan pasukan bomba di lokasi pada jam 12.38 tengahari.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain yang mengetahui operasi itu berkata, kerja mencari mangsa dilakukan dengan bantuan dua jengkaut dan Pusat Kawalan Bomba (PKB) Padang Tembak dibuka di lokasi.
Beliau berkata, menurut saksi kejadian mangsa sempat melompat keluar tetapi gagal ke tempat yang selamat.
"Saksi menganggarkan kedalaman mangsa tertimbus adalah lebih tiga meter dan mangsa kemudian ditemui jam 12.38 tengahari," katanya di lokasi di sini, hari ini.
Operasi tamat pada jam 12.51 tengahari tadi. - Foto Bomba
Operasi turut disertai Ketua Zon I JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Hamizi Wan Mohd Zin Mohamadul Ehsan berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, operasi tamat pada jam 12.51 tengahari tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir yang turut berada di lokasi berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi
mencari mangsa dilakukan hampir tiga jam sebelum mayat pemandu jengkaut itu ditemui tertimbus berhampiran dari jengkaut berkenaan.