Kangar: Undang-undang Tubuh Negeri Perlis berkemungkinan dipinda selari dengan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata, sekiranya pindaan menerusi Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis itu tidak memungkinkan kerajaan negeri memindanya, pihaknya akan memperkenalkan suatu enakmen baharu supaya ia selari dengan akta yang sudah pun diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini.
"Saya akan meminta Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis untuk melihat dahulu perincian Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis, sama ada kita (kerajaan negeri) ada atau tidak peruntukan yang sedemikian berkaitan dengan perlantikan sebagai wakil rakyat dan sebagainya.
"Apa pun, yang penting di sini adalah undang-undang itu (RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti) sudah diterima di peringkat pusat," katanya selepas merasmikan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Perlis di sini hari ini.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis, Datuk Hamdan Bahari berkata, pihaknya sedang merangka perancangan untuk membahaskan RUU berkenaan dalam Sidang Dun Khas.
"Saya berpendapat agar kita menghadiri satu Sidang Dun Khas bagi membahaskan mengenai RUU itu dan memandangkan bermula 9 hingga 11 Ogos hadapan, kita akan adakan Sidang Dun.
"Sebenarnya, ia boleh sahaja dibentangkan tanpa perlu dibahaskan namun bagi saya untuk terlalu mudah kerana tiada inti pati dalam pembentangan itu sebaliknya perbahasan terhadap RUU itu bagus untuk diadakan," katanya.