Sumber IG
Selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa menegaskan dia percaya pada rezeki dan penghasilan produk baharunya, Innai Nunha walaupun sejak kebelakangan ini banyak menerima komen negatif berkenaan produk keluarannya itu.
Menerusi laporan Media Hiburan, Neelofa, 30, menyatakan Innai Nunha bukanlah bersaingan dengan mana-mana jenama inai sedia ada dan dia juga sedia maklum setiap peniaga mempunyai cara tersendiri bagi memasarkan produk masing-masing.
"Ini bukanlah produk pertama saya. Sebelum ini dalam bisnes saya pernah hasilkan pakaian, tudung dan sebagainya. Selebriti lain pun pernah juga lakukan perkara sama.
"Jadi, kita di sini bukan nak bersaing, tidak. Bagi saya, rezeki Allah itu luas. Saya juga percaya, setiap peniaga ada cara, strategi dan hala tuju masing-masing.
"Yang melaga-lagakan dan memanaskan isu ini ialah orang luar dan mereka yang berkaitan, yang mungkin tidak faham dengan konsep rezeki.
"Kita di sini 'chill' sahaja. Orang nak cakap apa, mengenai warna begitu begini, kita relaks," katanya kepada MH.
Bertanyakan pendapat yang menyebabkan timbulnya isu perbandingan, bekas hos program MeleTOP itu menganggap isu berkenaan timbul kerana ia dipasarkan dalam waktu yang hampir sama.
Malahan, inai berkenaan juga tular disebabkan rasa was-was serta persepsi pengguna sama ada ia produk berkenaan boleh dibawa solat atau sebaliknya.
"Ia mungkin disebabkan oleh produk ini dilancarkan dalam tempoh lebih kurang sama dengan jenama lain. Jika sebaliknya, isu ini mungkin tidak akan timbul.
"Lepas itu pula viral mengenai macam-macam perkara misalnya soal mesra wuduk, warna dan sebagainya. Di akhirnya, perkara ini tidak akan berpanjangan," katanya.
Neelofa turut berpesan agar mana-mana pihak mengelak daripada terbabit dalam perbalahan mengenai isu berkenaan apatah lagi fokusnya adalah untuk mencari rezeki yang berkat.
"Tak payahlah memenatkan kalian punya tangan, mulut dan kepala untuk berbuat demikian sebab Allah sudah tentukan rezeki kita semua dalam setiap perkara.
"Tinggal lagi kita perlu tekankan untuk mencari rezeki yang berkat sahaja. Cari rezeki dengan cara yang baik tanpa perlu maki hamun, mengecam, menghentam dan sebagai," katanya lagi. - CARI
|