Sumber IG
Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersyukur apabila impiannya untuk membuka sekolah di Gaza, Palestin akhirnya tercapai.
Penghibur yang mesra disapa sebagai Tok Ti itu sudah lama menyimpan hasrat tersebut dan berjaya direalisasikan menerusi Yayasan Nurjiwa yang diasaskan bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Katanya, sekolah yang dinamankan sempena nama kedua-dua anaknya itu menyediakan pendidikan awal dan hafazan buat kanak-kanak seawal usia empat tahun.
"Alhamdulillah, saya gembira kerana ini sudah menjadi sesuatu yang saya ingin lakukan sejak dahulu lagi.
"Seperti yang kita sedia maklum dengan situasi yang menimpa terhadap anak-anak di bumi Gaza. Jadi, kita nak anak-anak Gaza ini berjaya dalam pendidikan serta adab yang baik.
"Sekolah ini ditubuhkan oleh Yayasan Nurjiwa dan dikendalikan oleh wakil khas kami di Gaza.
"Ini juga adalah bekalan akhirat saya dan suami," katanya dalam satu temubual bersama Media Hiburan.
Siti turut menjelaskan, dia memperuntukkan sekitar RM10,000 sebulan bagi menampung kos kakitangan, pengajar serta pengurusan sekolah seperti buku teks dan makanan.
"Saya cuba salurkan sumbangan pada setiap tahun sama ada sumbangan daripada Yayasan Nurjiwa atau peribadi.
"Setiap wang yang diterima daripada persembahan, duta produk dan sebagainya saya akan bahagikan untuk sumbangan. Saya dah agih-agihkan zakat untuk perkara itu," katanya. - CARI
|