|
Selepas berjaya memasarkan produk pakaian muslimah seperti tudung, telekung dan sejadah yang dinamakan Sejadah Noor, pelakon Azza Elite, 44, melebarkan langkah dengan memasarkan kit pengurusan jenazah lelaki dan wanita pula.
Pelakon drama 7 Hari Mencintaiku ini berkata, dia tidak menyangka percubaannya untuk berniaga sambil beramal ini membuahkan hasil positif.
Foto: IG
"Ada satu kejadian bila saya buat infak sejadah, ada orang tanya berkenaan kit pengurusan jenazah ini. Katanya dia nak infak pada orang.
"Daripada situlah saya terfikir kenapa tak buat perkara ini. Saya pun cuba buat seperti cadangannya.
"Tapi terus-terang cakap, saya sebenarnya seorang penakut. Saya beli kit pengurusan jenazah dan letakkan di bahagian luar rumah," katanya kepada Harian Metro.
Azza atau Nor Azzarima Zawari menjelaskan pernah berdepan situasi seram dan mencuit hati membabitkan dirinya, anak serta suami berkenaan perkara ini.
"Hari pertama selepas dapat produk ini memang tiada apa-apa berlaku. Tapi hari kedua, kami tidur di bahagian bawah rumah.
"Ketika itu lepas Subuh, tiba-tiba kedengaran satu bunyi aneh dari tempat penyimpanan barang itu. Namun saya anggap ia mungkin kucing.
"Selepas kejadian itu, kami meletakkan kit pengurusan jenazah di Rumah Sejadah iaitu di premis perniagaan saya," katanya.
Menurutnya, biarpun takut, kit begini memang sepatutnya ada di setiap rumah orang Islam.
"Itu memang tak dapat dinafikan. Saya cuba kumpul kekuatan buat benda ini kerana ia adalah fardhu kifayah.
"Bukan fasal nak buat bisnes nak cari untung. Ia bertujuan memudahkan orang cari apabila tiba-tiba ada kematian. Mereka tahu mana nak cari benda ini.
"Saya cuma nak memudahkan keadaan. Mereka yang perlu boleh datang ke Rumah Sejadah jam berapa pun kerana kami ada di situ. Harga jualannya hanya RM130," katanya yang ditemui pada majlis Meet & Greet Cik Laila (Drama Mem dan Bibik Bibik TV3) bersama artis naungan Dino May Entertainment baru-baru ini.
Azza berkata, dia pernah terbaca berkenaan pelakon veteran, Allahyarham Datin Umi Kalthum yang menyediakan kit pengurusan jenazah di rumahnya dan memuji usaha ini.
"Arwah dah sediakan awal-awal. Apabila saya ditanyakan perkara ini oleh seorang wanita, saya pun mulakan langkah ini," katanya yang kini terbabit dengan penggambaran drama arahan Heykal Hanifah. -CARI
Sumber: Harian Metro
|
|