Sumber IG
Vokalis kumpulan Bunkface, Shamsul Annuar Mohd Baharom atau lebih mesra disapa sebagai Sam mendedahkan pernah berada dalam keadaan mencabar ketika negara berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penyanyi yang juga abang kepada pelakon, Siti Saleha itu menganggap tempoh tersebut sebagai situasi terendah kehidupannya kerana tidak mempunyai sumber pendapatan lain tambahan pula anak keduanya baru sahaja dilahirkan.
"Itu fasa paling rendah dalam hidup saya. Bayangkan industri lumpuh waktu itu. Anak saya baru lahir.
"Kawan-kawan datang dekat saya cakap saya ini gila ke? Macam mana saya nak bagi makan isteri dan anak? Tapi, alhamdulillah selamat saja semuanya. Cukup saja semuanya.
"Ketika itu, saya buat macam-macam untuk bertahan. Saya jadi ejen jual biskut selama tiga bulan. Belajar berniaga, adakan mesyuarat. Cuma itulah, ia tak dipermudah. Pusing ke arah mana pun akan kembali kepada muzik juga," katanya dalam sesi temu bual bersama Getaran.
Keadaan Sam yang pada ketika itu serba tidak mampu, ada suara-suara yang meminta agar mereka menutup sahaja studio dan berhenti bermain muzik waluapun itu satu-satunya minat mereka.
"Kawan-kawan saya ada cakap, sikit hati nanti bungkus juga studio kami ini. Tapi, saya percaya, Tuhan tak akan biar kami terkontang-kanting. Muzik adalah satu-satunya benda yang saya boleh buat. Dia bawa saya kembali kepada muzik.
"Bukan itu sahaja, saya akui sebagai penulis, saya memang boleh menulis lirik lebih baik ketika dalam keadaan susah. Dulu saya pernah berada dalam fasa lebih kurang begini hingga lahirnya lagu Situasi.
"Saya katakan kepada Bunkface yang kita kena jadi macam muda dulu. Waktu muda kita bodoh tapi kita jalan saja. Sekarang dah tua kononnya pandai semua benda. Tapi entah kenapa semuanya menjadi halangan. Lebih baik jalan sahaja kerana Allah akan bagi rezeki," katanya.
Dalam perkembangan baharu, Bunkface bakal tampil dengan konsert 15 tahun mereka bergelar anak seni dalam Konsert Bunkface! 15 Years Of Korang pada 30 dan 31 Julai bertempat di Zepp KL. -CARI
|