Setiap tahun, hijau Beserah pasti mendapat tempahan dalam kalangan kerabat diraja dan pemimpin politik bukan sahaja di seluruh negara.
Keenakan durian itu bukan sahaja diketahui dalam kalangan rakyat negara ini malah turut mendapat permintaan sehingga ke Singapura.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peraih durian hijau Beserah, Muhammad Shahrul Fawaz Abdul Aziz berkata, ketika ini, durian hijau Beserah yang dijual RM40 sekilogram masih boleh diibaratkan sebagai ‘pisang goreng panas’.
Ini kerana, katanya, setiap tahun peminat raja buah itu pasti menunggu bila ia gugur dan membuat tempahan awal untuk menikmati keenakannya.
“Kira-kira 60 tahun lalu, durian hijau Beserah dijual RM60 sebiji yang mana hanya mereka yang boleh disebut sebagai golongan ‘kayangan’ mampu membeli raja buah berkenaan.
“Dalam tempoh itu juga, durian hijau perlu ditempah kerana permintaannya cukup tinggi, ketika ini pun masih sama malah sampai ada penggemarnya yang mahu pajak satu pokok durian hijau untuk menikmati keenakkan isinya,” katanya di sini semalam.
Muhammad Shahrul Fawaz atau lebih mesra dipanggil Atan berkata, setiap musim antara RM50,000 ke RM100,000 hasil jualan diperoleh dengan menjual durian hijau Beserah.
“Ia bagaimanapun bergantung kepada buah setiap musim. Kalau banyak lebih RM100,000 pun pernah dapat. Musim ini sejak awal Januari lalu, lebih RM50,000 telah diperoleh,” katanya.
Beliau berkata, isi durian hijau Beserah tidak terlalu tebal dan tidak menyebabkan cepat muak seperti sesetengah durian lain.
Menurutnya, sebiji durian itu penuh dengan isi di setiap pangsa menjadikan ia dikatakan mampu menandingi musang king.
‘Di daerah lain di negeri ini memang terdapat durian hijau tetapi rasanya tidak sama seperti durian hijau Beserah,” katanya. –
UTUSAN ONLINE