Sumber IG
Aktor, Shahrizal Jaszle Jasmin atau lebih dikenali sebagai Shahz Jaszle nekad menurunkan berat badan dalam tempoh 23 hari dengan mengamalkan diet 'human chorionic gonadotropin' (HCG) dengan hanya mengambil 500 nilai kalori sehari sepanjang tempoh berkenaan.
Memetik laporan mStar, Shahz menyedari penampilan adalah salah satu faktor utama untuk terus kekal relevan dalam industri seni lakon menyebabkan dia gigih menurunkan berat badannya sebanyak 14 kilogram (kg).
"Sebelum ini saya jarang diberi watak utama disebabkan faktor fizikal. Jadi, saya tanamkan dalam diri untuk dapatkan bentuk badan yang baik sebagai tanda kemunculan semula.
"Saya berjaya turunkan sebanyak 14 kg dari 86 kg sebelum ini. Setiap hari saya hanya makan ikan siakap yang dikukus dan brokoli. Memang rasa muak tetapi demi hendak kurus saya sanggup buat," katanya.
Menurut aktor itu, dia dapat merasakan layanan berbeza yang diberikan apabila penampilannya berubah.
Malahan, dia turut bersyukur kerana masih diberikan kepercayaan untuk menggalas watak hero walaupun semakin ramai artis baharu yang muncul ketika ini.
"Faktor utama untuk kekal relevan dalam industri adalah perlu kekalkan bentuk badan yang menarik. Saya rasa sendiri layanan berbeza berbanding sebelum ini ketika badan berisi.
"Syukur apabila kembali diberikan tawaran sebagai hero. Sudah lama tidak menerima watak utama," katanya. -CARI
|