Aktor yang mahir dengan seni bela diri, Yayan Ruhian, 54, menyifatkan pengarah, Syamsul Yusof memiliki sentuhan emas dan bakat luar biasa.
Turut menempa nama di Hollywood, Yayan yang memegang watak sebagai Toga dalam naskhah epik Mat Kilau itu mendedahkan keinginannya untuk bekerjasama dengan Syamsul yang namanya sudah pun dikenali di Indonesia.
"Saya teruja apabila menerima tawaran itu. Lebih lagi apabila mengetahui filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu diarahkan oleh pengarah terbaik seperti Syamsul.
"Sebagai pengarah muda, Syamsul memiliki wawasan dan kreativiti. Proses penggambaran berlangsung dengan santai dan kami sentiasa berbincang di lokasi penggambaran," katanya kepada Berita Harian.
Walaupun kerap diberikan watak antagonis, Yayan bagaimanapun sentiasa menyahut cabaran dan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh komited.
"Saya tidak suka menoleh ke belakang. Hanya kerana pernah membawakan watak hampir sama, kenapa pula saya harus menolak tawaran baru. Bagi saya, pengarah pastinya mempunyai alasan kenapa memilih saya.
"Setiap watak diberikan walaupun mungkin pernah dijayakan tetapi mempunyai karakter berbeza yang perlu dipersembahkan mengikut cara tersendiri," katanya yang pernah beraksi dengan aktor Hollywood, Keanu Reeves menerusi John Wick: Chapter 3. -CARI
|