Pelakon wanita, Jasmine Suraya Chin yang dipertanggungjawabkan untuk melakonkan watak Shalin Zulkifli dalam drama Ratu Ten Pin 2: Shalin, mengakui mengalami pelbagai kesukaran bagi merealisasikan karakter tersebut.
Memetik laporan mStar, aktres berusia 32 tahun itu berkata, segala pahit getir yang dihadapinya ketika menjayakan watak yang sarat dengan emosi dalam drama itu akan sentiasa terpahat dalam ingatannya.
"Bukan mudah nak bawa watak Shalin. Saya memang takkan lupa kesusahan dan kepayahan nak bawa watak itu. Antara cabaran adalah apabila shoot babak Shalin dengan kawan dan keluarga.
"Selama ini, kita hanya tengok Shalin secara luaran dan tak tahu macam mana dia dengan kawan-kawan dan ibu bapanya. Memang sisi Shalin yang berbeza.
"Susah juga saya nak kena ikut gerak-geri dan cara percakapannya. Cerita ini pun bukan hanya tentang bowling tapi segala emosi. Bila baca skrip, banyak babak perlu menangis.
"Saya tanya Shalin, memang banyak ke dia menangis. Shalin kata dia akan menangis setiap kali kalah," katanya kepada mStar.
Jasmine turut mendedahkan dia mengalami keletihan mental (mentally drained) selama tiga bulan selepas tamat penggambaran drama tersebut.
Menyifatkan watak tersebut antara yang paling sukar dilakonkan, aktres itu memberitahu sehingga kini dia masih terbawa-bawa cara Shalin duduk dan berjalan.
"Bagi saya, watak Shalin ini memang paling susah saya pernah bawa. Sampaikan selepas shooting, tiga bulan saya tak boleh ambil projek lain sebab mentally drained.
"Saya terlalu penat. Malah, kadang-kadang saya terbawa-bawa watak Shalin di luar set. Saya pakai baju macam dia. Sampai sekarang pun adakalanya saya duduk dan berjalan seperti dia," kata Jasmine. -CARI
|