View: 478|Reply: 1
|
Nurbalqis Penterjemah Profesional Bahasa Melayu-Turki Pertama Diiktiraf Turkiye
[Copy link]
|
|
Minat mendalam untuk menguasai bidang bahasa antara pendorong utama Nurbalqis Abdul Rashid, pelajar tahun dua jurusan Tafsiran dan Terjemahan Turki-Arab di Universiti Seljuk, Turkiye, mengecapi kejayaan pada hari ini.
Nurbalqis, 23, baru-baru ini mencatat sejarah negara apabila menjadi penterjemah profesional Bahasa Melayu-Turki pertama yang diiktiraf kerajaan Turkiye.
Menurut anak jati Rawang, Selangor itu, beliau perlu melalui proses temu duga yang mencabar selama dua jam, merangkumi ujian lisan dan bertulis sebelum menerima pengiktirafan tersebut.
"Ini satu permulaan baik kepada saya untuk berusaha lebih gigih demi menjadi penterjemah lebih bagus serta dapat membalas jasa ibu dan ayah yang telah memastikan saya mendapat pendidikan sempurna," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Berkongsi cerita, Nurbalqis berkata minatnya dalam bidang bahasa tercetus sejak di tadika selain sokongan daripada ahli keluarga untuk mendalami bidang itu.
Selepas menamatkan pendidikan di Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu, Selangor, beliau melanjutkan pengajian selama dua tahun di Sudan untuk mempelajari bahasa Arab dan seterusnya ke Turkiye.
"Saya juga pernah mengajar bahasa Turki di bawah Perpustakaan Awam Selangor, menterjemah buku dari bahasa Turki ke bahasa Melayu dan bekerja separuh masa di Turkiye dengan tujuan untuk menambah baik bahasa Turki saya," katanya.
Mengakhiri temu bual, beliau berharap lebih banyak karya antarabangsa dapat diterjemahkan kepada bahasa ibunda pada masa akan datang.
"... menjadi tugas dan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk mengangkat bahasa kebangsaan yang kita cintai ini," katanya.
Selain bahasa Melayu, Nurbalqis juga diiktiraf untuk melakukan penterjemahan bahasa Turki ke bahasa Inggeris, Indonesia serta Arab dan sebaliknya.
Sumber: BERNAMA |
|
|
|
|
|
|
|
Tahniah dik. Bagus tau bnyak bahasa |
|
|
|
|
|
|
| |
|