Gembira melihat kejayaan rakan-rakan seperjuangan seperti Datuk Hattan, Search dan U.K's melunaskan konsert masing-masing, ia memberikan semangat serta motivasi buat penyanyi, Datuk Nash untuk melakukan hal sama sebagai penghargaan kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan.
Memetik laporan Kosmo! Online, Nash mengakui mempunyai perancangan untuk mengadakan konsert namun masih dalam proses perbincangan bersama Datuk Ramli MS dan Man Kidal.
"Kami bertiga ada persefahaman bersama untuk buat satu kejutan. Inysa-Allah pada hujung tahun ini," katanya yang enggan berkongsi perincian lanjut mengenai perancangan konsert tersebut.
Nash yang cukup dikenali sebagai vokalis kumpulan Lefthanded berkongsi mengenai perkara itu selepas selesainya Majlis Sidang Media Pelancaran Kempen Haji 1443H TV AlHijrah.
Penyanyi berusia 62 tahun itu bagaimanapun tidak berani untuk menjanjikan kualiti vokal akan sama seperti ketika dia masih muda dahulu serta mengharapkan pengertian daripada peminat.
"Saya bukanlah hebat sangat menyanyi pun. Biasa-biasa saja. Apatah lagi umur dah 62 tahun.
"Kalau penonton atau sesiapa cakap saya dah tak boleh menyanyi dan sebagainya, maknanya mereka bengaplah. Faktor umur kan," selorohnya sambil tertawa.
Jelas Nash, peminat tidak boleh mengharapkan orang yang sudah berusia masih berkeupayaan menyampaikan sesebuah lagu sama seperti sama seperti pada awal kemunculan penyanyi tersebut.
"Bagi saya, yang paling penting adalah penghayatan dan juga cara menyanyikan sesebuh lagu kepada orang.
"Nak nilai seseorang itu bagus atau tak bagus, tengoklah bila kali pertama dia keluar album," katanya. - CARI
|