Sumber IG
Bakal melangsungkan konsert A Night With Aina Abdul 2.0 (ANWAA 2.0) Live di Istana Budaya pada 25 dan 26 Jun ini, penyanyi, Aina Abdul berjanji akan menjaga sensitiviti berpakaian ketika membuat persembahan.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Sepi itu akan mengekalkan identitinya dalam berfesyen namun tetap mengambil kira saranan yang sudah diberikan ramai pihak.
"Setiap malam konsert ANWAA 2.0, saya akan pakai busana berbeza. Saya bakal memperagakan 10 persalinan busana hasil rekaan Melinda Looi, Zaimi Zulkafli, Rizman Ruzaini, Tsyahmi, Wn & Mary, Behati, Khuntumn dan Masyadi Mansoor.
"Saya tetap kekalkan identiti Aina Abdul yang berani bereksperimen dalam berfesyen tetapi saya ambil kira sarana orang ramai dan akan menjaga sensitiviti agar tidak lagi terkait dengan isu panas.
"Baju yang saya gayakan mempunyai maksud tersendiri dan ada juga bersifat ekstravaganza seperti yang saya selalu pakai. Tunggu dan lihat hasilnya nanti, saya memang tak sabar," katanya kepada Media Hiburan.
Bersyukur segala persiapan berjalan lancar, Aina mengharapkan agar perjalanan konsert tersebut akan dipermudahkan.
Apatah lagi ANWAA 2.0 menjadi medan bagi wanita itu untuk menunjukkan bakat sendiri dan sebagai salah satu tanda terima kasih kepada semua peminatnya yang selama ini tidak pernah berhenti memberikan sokongan.
"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Konsert ini menjadi tanda usaha gigih saya dan team Aina Abdul Entertainment untuk memberikan sesuatu buat peminat.
"Kalau boleh, pada malam konsert itu saya nak penonton sama-sama menghayati apa yang saya cuba sampaikan, sama-sama menangis, sama-sama ketawa, sama-sama menyanyi.
"Saya nak semua puas menyaksikan ANWAA 2.0 dan saya mohon doa semua peminat agar perjalanan konsert selama dua malam dipermudahkan," katanya. -CARI
|