Datin Fouziah Gous adalah antara pelakon yang suatu ketika dahulu menjadi pilihan penerbit serta stesen televisyen. Dia juga adalah salah seorang aktres yang kerap menghiasi kaca televisyen membintangi drama mahupun telefilem.
Pun begitu, sejak tiga tahun kebelakangan ini, Fouziah tidak pernah lagi muncul dalam mana-mana naskhah kerana mengurangkan aktiviti seni bagi memberikan laluan pada bidang perniagaan yang diceburinya.
Memetik laporan mStar, pemilik nama sebenar Nor Fouziah Mohd Gous itu mengalihkan keutamaannya pada perniagaan minuman kesihatan berasaskan sarang burung yang diusahakannya itu.
"Memang saya dah lama tak muncul di TV. Fokus saya pada perniagaan. Ketika saya masih aktif berlakon, saya antara yang mula buat perniagaan atas talian.
"Fasa pertama perniagaan banyak mengambil masa, tenaga dan jiwa saya. Terlalu banyak efforts yang perlu saya berikan sebab tak banyak rujukan seperti sekarang.
"Bukan saya tak berlakon tetapi perniagaan memang ambil masa saya dari pagi hingga malam. Kadang-kadang saya berada di pejabat," katanya kepada mStar.
Karya terakhir lakonan Fouziah adalah Sara Sajeeda yang ditayangkan pada 2019. Mengakui terbit rasa rindu untuk kembali ke lokasi penggambaran tetapi wanita itu berdepan dengan kekangan masa.
Sehingga kini masih menerima banyak tawaran lakonan, Fouziah bagaimanapun terpaksa memilih 'job' yang bersesuaian dengan jadual hariannya yang sudah padat dengan urusan perniagaan.
"Bukan tak nak berlakon... Saya rindu juga nak berlakon tetapi jadual harian memang padat. Tawaran sentiasa ada tapi saya pilih kalau ia sebagai tetamu dalam program. Contohnya sebelum ini saya pernah muncul dalam Sepahtu Raya.
"Saya pilih tawaran yang tak memerlukan masa lama. Saya juga jadi selective. Kena pastikan cerita itu bagi impak pada diri. Kadang-kadang tawaran ada tapi bila baca macam mungkin sesuai untuk orang lain," katanya. -CARI
|