Mia Sara Shauki, anak sulung kepada Datuk Afdlin Shauki turut terjun ke dunia lakonan sama seperti bapanya.
Setiap kali ditawarkan apa jua watak terutama sekali membabitkan babak sensitif, gadis berusia 23 tahun itu terlebih dahulu akan meminta pandangan dan pendapat Afdlin.
Memetik laporan Media Hiburan, Mia yang tampil berlakon dalam drama bersiri Histeria The Series memerlukannya membawakan karakter sebagai pelajar sekolah yang merokok.
"Saya anggap papa bukan saja sebagai penyokong tetapi juga pengkritik utama saya dalam dunia lakonan.
"Sebab itulah apabila ada adegan merokok, saya tanya dia dulu dan respons yang diberikan adalah positif kerana ia adalah satu bentuk pengajaran kepada penonton terutamanya kepada golongan ibu bapa.
"Bagi papa, lakonan saya itu adalah untuk memberikan peringatan kepada semua khususnya ibu bapa agar lebih peka terhadap anak-anak," kataya kepada MH.
Mengulas mengenai pengalamannya berlakon dalam drama berkenaan, kata Mia, dia cukup berbangga kerana mempunyai peluang untuk bekerja dengan ramai pelakon berkaliber dan popular.
"Saya teruja dapat berlakon bersama nama besar antaranya Nam Ron, Liyana Jasmay, Farah Ahmad dan Ziana Zain.
"Sebenarnya, James Lee dah minta saya datang uji bakat buat kali pertama tetapi saya tak datang sebab rasa tak cukup layak untuk pegang watak penting dalam drama itu.
"Tapi, selepas lima bulan dia minta lagi saya hadir dan ketika itu papa pun berikan saya keyakinan supaya tak sia-siakan peluang untuk bekerja dengan pengarah terkenal," katanya.
Sebagai info tambahan, Histeria The Series adalah kesinambungan kepada filem Histeria yang ditayangkan di pawagam pada tahun 2008. - CARI
|