Sekitar awal tahun ini, penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir Zawawi ada mengeluarkan kenyataan bahawa dia belum terbuka hati untuk bercinta kerana ingin memberikan laluan pada kerjaya seninya terlebih dahulu.
Memetik laporan Kosmo! Online, Shahir bagaimanapun mengesahkan bakal bertunang dengan usahawan produk berusia 30 tahun pada pertengahan bulan hadapan selepas dua bulan kedua-dua mereka saling mengenali hati budi.
Kata Shahir, keserasian serta budi pekerti wanita yang berjaya mencuri hatinya itu menyebabkan dia tidak mahu menunggu lama untuk membawa hubungan mereka fasa seterusnya iaitu sebagai suami isteri.
"Jodoh itu ketentuan Allah. Tidak timbul soal cepat atau lambat. Apabila masing-masing ikhlas, kami serius melangkah ke fasa seterusnya menuju alam perkahwinan dengan berjumpa keluarga masing-masing.
"Walaupun belum sampai dua bulan kami berkenalan, saya yakin dia calon paling tepat selepas melihat sikapnya dan paling penting keserasian kami. Usia saya dan dia juga sama-sama sudah mencecah 30-an. Buat apa tunggu lama-lama," katanya yang memilih untuk merahsiakan identiti buah hatinya sehinggalah pada hari pertunangan nanti.
Ketika awal perkenalan mereka, Shahir mendedahkan dia sudah melihat banyak ciri yang baik ada pada wanita itu yang menyifatkan kekasihnya individu yang pandai melayan orang dan sentiasa berfikiran positif.
Ditanyakan mengenai perancangan perkahwinannya, kata Shahir, dia masih mencari lokasi sesuai di ibu negara untuk meraikan hari bahagia itu namun belum pasti sama ada pernikahan itu akan dijalankan pada tahun ini atau tahun hadapan.
"Insya-Allah, ikutkan kami memang ingin percepatkan perkara baik ini. Keluarga akan berbincang tarikh pernikahan pada hari bertunang nanti. Kalau boleh nak segerakan tetapi kena tengok tempat dulu sebab banyak lokasi acara sudah ditempat awal.
"Sekarang kami buat persiapan dan penuhi permintaan keluarga untuk ikut adat dimulakan dengan merisik dan meminang. Kalau tiada halangan, kami akan bertunang pada Julai hadapan dan harapnya majlis pernikahan dapat dilangsungkan pada tahun ini juga," katanya.
Terdahulu, Shahir pernah disgosipkan bercinta dengan selebriti popular, Erra Fazira. -CARI
|