Pelakon dan penyanyi, Janna Nick sebelum ini pernah tampil dengan lagu Mungkin Sahaja diikuti Akan Bercinta. Siapa sangka, pertaruhannya membawakan lagu Gatal mendapat tempat di hati penggemar muzik tanah air.
Selepas lagu berkenaan mencipta fenomena tersendiri di TikTok, Janna kemudian muncul dengan versi Gatal Raya serta Gatal Broadway yang diberikan susunan muzik berbeza. Bagaimanapun, hanya Gatal Raya sahaja yang diubah liriknya mengikut kesesuaian lagu berkenaan.
Kata Janna, penghasilan dua versi lagu berkenaan adalah idea syarikat rakaman yang tidak mahu pemiknat lupa akan 'beat' lagu tersebut. Namun, kata wanita itu, selepas ini tidak ada lagi versi Gatal yang seterusnya kerana dia sudah pun 'move on' daripada karya Aepul Roza itu.
"Aepul Roza ada berikan saya beberapa lagu lain sebelum Gatal tetapi saya tolak sebab kali ini saya betul-betul serius dengan nyanyian. Kemudian Aepul beri lagu Gatal. Dia tanya saya berani ke bawa lagu itu sebab seksi dan sensual.
"Saya cakap okay. Tengok macam mana penerimaan orang nanti. Awalnya, saya sangkakan ia akan mencetuskan kontroversi tetapi agak mengejutkan apabila ramai yang dapat terima. Mungkin media sosial buat masyarakat kita semakin berfikiran terbuka terutama waktu PKP sebab tak dapat ke mana-mana dan banyak meluangkan masa layan kandungan di medium digital.
"Sebelum ini, ramai yang hanya terima hiburan berdasarkan apa yang stesen TV berikan. Tapi, cukuplah dengan lagu Gatal. Saya sudah move on dengan lagu itu," katanya kepada Getaran.
'Kegilaan' orang terhadap lagu itu bukan hanya di dalam Malaysia sahaja tetapi juga ada beberapa buah negara yang turut menjadikan lagu tersebut sebagai trend di TikTok.
Bagi Janna, kejayaan lagu itu berpihak pada dirinya disebabkan tuah dan nasib.
"Kegilaan seperti itu tidak berlaku pada mana-mana lagu. bukan sebab lagu orang lain tak bagus tapi mungkin tak menepati trend di TikTok. Ada seorang doktor gigi iaitu Doktor Benjy yang selalu buat TikTok degan lagu itu dan saya juga terima banyak permintaan dari pengguna TikTok dari pelbagai negara untuk buat kolaborasi bersama.
"Tapi sebab saya sibuk dengan penggambaran dan produksi, saya tiada masa untuk layan permintaan mereka. Bukan sebab saya sombong. Banyak juga tawaran saya terima dan sebenarnya saya memang cukup bersedia untuk buat persembahan secara live.
"Tapi, kalau ada shooting, saya tak akan terima mana-mana tawaran sebab saya tak dapat fokus. Tahun ini saya serius dengan nyanyian. Kalau ada masa terluang dan dapat tawaran menyanyi saat akhir, saya tak akan buat," katanya yang memerlukan masa kira-kira tiga hari sebelum tampil beraksi.
Ditanyakan lagu seterusnya yang akan dilancarkan, kata Janna, dia mengakui ramai yang meminta agar dia hasilkan lagu baharu dalam masa terdekat. Bagaimanapun, dia mungkin akan mengambil masa panjang sebelum tampil dengan buah tangan baharu kerana tidak mahu ia akan dibandingkan dengan Gatal. -CARI
|