Majlis Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) sudah hampir seminggu berlalu, namun sehingga ke hari ini masih ada insiden-insiden berkaitan acara itu diperkatakan yang mungkin tidak sedari umum.
Semalam, tular di Twitter perkongsian @amyrafq mengenai video memaparkan seorang wartawan sedang menemubual penyanyi rap, Noki yang berjaya meraih dua kemenangan menerusi lagu duet AEWO bersama Shiha Zikir.
Bagaimanapun, apa yang menjadi perhatian adalah usikan wartawan tersebut yang menyelak 'blazer' dipakai anggota kumpulan K-Clique itu.
Gurauan itu ada kaitannya dengan kenyataan Noki sebelum ini yang tidak kisah sekali-sekala 'belanja' badan.
Gurauan itu bagaimanapun kurang disenangi segelintir pihak yang mengatakan bahawa walaupun Noki kerap berkongsi gambar tidak berbaju di media sosial, tetapi ia bukan bermaksud sesiapa saja boleh menyentuhnya.
Netizen turut mempertikaikan etika kewartawanannya yang sepatutnya lebih peka mengenai isu 'sexual harrasment' yang tidak hanya berlaku pada wanita, tetapi tanpa sedar juga terjadi kepada lelaki.
Ada juga netizen menggesa pihak Astro dan produksi hLive agar mengambil tindakan tatatertib ke atas wartawan berkenaan kerana tindakannya itu boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual. - CARI
|