CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 782|Reply: 0

Faizal Tahir Tak Nak Guna Perkataan Dakwah

[Copy link]
Post time 3-6-2022 12:03 PM | Show all posts |Read mode
Bagi mereka yang mengikuti perjalanan kerjaya seni Faizal Tahir, Alah Bisa mungkin dilihat sebagai satu buah tangan yang berbeza daripadanya memandangkan kali ini, dia selesa menghasilkan karya berentak rakyat, bernuansa nusantara.


Kata penyanyi dan komposer berusia 43 tahun ini, di usia begini, dia mula terfikir, seharusnya lagu-lagu genre nusantara terus diangkat dan tidak ditolak ke tepi, bimbang pelapis dan pendengar generasi baru terlupa betapa ‘mahalnya’ karya seperti ini.







“Saya ini bukan dalam kategori pencetus pun, tetapi jika ada yang berasakan ini boleh jadi inspirasi pada mana-mana penulis lagu lain terutama yang baru-baru dalam industri, ya apa salahnya.


“Kita tidak harus menolak ke tepi unsur lagu rakyat dalam penciptaan lagu. Ini saya cerita daripada pengalaman sendiri.Sekitar 16 tahun lepas saya pun banyak buat lagu dengan menginspirasikan karya barat. Tapi makin lama, kita nak akan keunikan Melayu itu. Benda ini tak ada pada negara lain.


“Sebab itulah kalau tengok pada muzik dalam industri K-Pop, mereka boleh naik sebab mereka fokus pada kekayaan lagu sendiri,” katanya.


Bagaimanapun, kata Faizal, ini bukan bermaksud tidak boleh langsung berkarya dengan muzik ala barat. Tetapi, baginya, lebih baik kembali ke akar umbi kerana baginya, ada sesuatu yang istimewa pada lagu genre nusantara itu sendiri.


Mengulas lanjut mengenai Alah Bisa yang disuntik dengan elemen nasihat, Faizal mengaku, sememangnya itu adalah antara tujuan utama dia menghasilkan lagu tersebut.




IG Faizal Tahir




Menitip pesanan agar setiap daripada individu Muslim supaya menjaga solat, penyanyi ini percaya bahawa kejayaan seseorang manusia itu dapat dilihat menerusi bagaimana dia menjaga solatnya.


“Macam kita sentiasa dengar, orang kata, nak berjaya, kenalah jaga solat. Itu sangat benar.


Intipati lagu ini memang asasnya adalah saya nak beritahu perkara itu. Jagalah solat.


“Ia bukan satu lagu berbentuk dakwah pun. Tapi kalau ada yang fikir begitu pun tak ada masalah. Saya tak nak guna perkataan dakwah sebab ia terlalu besar. Terus-terang saya mahu peminat sendiri yang hadam dan menilai.


“Bagi saya, kalau ada mesej yang baik dan dapat memberikan impak yang positif, itu sudah sangat Alhamdulillah,” katanya.


Tambah Faizal, selain itu, pesanan agar usah berlaku sombong juga dititipkan buat pendengar.


Namun, ia tidak bermakna tujuannya cuma ingin ‘membasuh’ minda pendengar semata-mata.




IG Faizal Tahir




“Sebenarnya, dalam masa yang sama, saya ini sedang menasihatkan diri sendiri. Mungkin dengar macam saya nak sindir atau tegur orang lain, tapi sebenarnya saya tegur diri sendiri. Sekali lagi saya cakap atas pengalaman. Dulu, semua orang tahu saya pernah melalui zaman berada di puncak. Saya akui, ketika itu tak sedar pun akan kesalahan sendiri. Kita rasa ego dan besar.


“Kita rasa kita tak sombong, tapi sebenarnya kita sedang sombong. Dulu saya pun tunggang terbalik, hanyut. Sekarang ini, macam tak masuk akal kalau saya sibuk nak tegur orang lain tapi diri sendiri tak betul.


“Jadi, teguran ini adalah untuk sama-sama kita semua perbaiki diri. Kalau ia mengesankan di hati dan beri impak baik, macam saya katakan tadi, syukur Alhamdulillah. Saya pun nak pesan pada orang menerusi lagu ini, agar janganlah jadi macam saya yang dulu,”katanya.




Sumber: Utusan
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

16-1-2025 04:41 AM GMT+8 , Processed in 0.424579 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list