Satu kes perubatan yang sangat jarang berlaku direkodkan di daerah Motihari, negeri Bihar, India apabila janin ditemui membesar di dalam perut seorang bayi berusia 40 hari, lapor agensi berita Asean News International (ANI).
Bayi itu pada mulanya dibawa ke Pusat Perubatan Rahmania di Motihari untuk menerima rawatan kerana disangka mengalami masalah kembung perut dan tidak dapat membuang air kecil dengan lancar.
Janin sedang membesar dalam perut seorang bayi berusia 40 hari di Bihar, India. - Hong Kong Medical Journal
Bagi mengenal pasti punca penyakit tersebut, pakar kesihatan Pusat Perubatan Rahmania, Dr. Tabrez Aziz melakukan ujian Imbasan tomografi berkomputer (CT).
Keputusan ujian imbasan itu mengejutkan semua pihak apabila terdapat janin lain sedang membesar di dalam perut bayi itu.
Beliau berkata, kes seperti itu sangat jarang berlaku dengan kebarangkalian satu dalam setiap lima juta pesakit.
Dr Tabrez Aziz via ANI
“Satu anomali perubatan yang jarang berlaku telah terbongkar di mana janin dilihat membesar di dalam perut bayi berusia 40 hari.
“Ia dipanggil fetus di dalam fetus. Bayi itu telah menjalani pembedahan membuang janin dan berada dalam keadaan stabil,” kata Tabrez.
Sumber: Kosmo |