Industri seni kreatif kembali rancak dan meriah selepas dua tahun sepi gara-gara terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan virus Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada 2020.
Malam semalam (Ahad), telah berlangsungnya majlis Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) yang dihadiri ramai selebriti tanah air dan menjadi kebiasaan bagi artis tempatan untuk 'melaram' dengan gaya penampilan pilihan masing-masing.
Sejak malam tadi, nama usahawan kosmetik Datuk Seri Vida sudah mulai tular gara-gara memperagakan pakaian berwarna pink serta tudung yang dipintal seperti rambut yang diikat tinggi dan kemudian ditocang. Bagaimanapun, 'tocang' berkenaan mengingatkan netizen kepada karakter Majin Bu dalam cerita animasi popular Dragon Ball.
Pemilihan gaya oleh pelakon Nad Zainal yang memilih gabungan songket dan sari berwarna putih turut mendapat pujian ramai. Ia boleh dikatakan pilihan bijak.
Ketika selebriti lain tampil dengan fesyen 'rambu-ramba' dengan baju mencecah lantai, aktres bertubuh kecil itu pula tampil menarik dengan busana rekaan Seth dan Luna.
Sari berwarna putih disertakan dengan solekan dengan tahi lalat di tulang pipi membuatkan sesiapa sahaja yang sudah menonton cerita Gangubai menyamakan penampilan Nad dengan watak utama dalam cerita yang ditayangkan menerusi Netflix itu.
Sementara itu, pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta tampil mencuri tumpuan apabila memakai busana rekaan Abu Shaef Hamza berwarna jingga menyala itu. Gabungan warna dan rekaan terutama pada bahagian bahu baju yang disambungkan dengan kolar tinggi seolah-olah kelopak bunga itu membuatkan dia tampil menyerlah dibandingkan tetamu lain.
Bagaimanapun, mengenali Che Ta, dia sememangnya seorang selebriti gemar bergaya. Tidak hairanlah jika dia memilih fesyen menonjol ketika menghadiri majlis anugerah. Lihat sahaja baju rayanya, semuanya nampaknya ekstra!
Turut berkesempatan hadir pada majlis itu adalah pelakon meningkat naik, Nadhir Nasar. Memakai pakaian serba hitam, aktor yang mulai menjadi sebutan selepas mempamerkan corak lakonan mantap menerusi drama iTanggang itu turut memakai celak pada bahagian bawah mata sebagai pelengkap gaya.
Melihat gaya yang ditampilkan, ada yang menyamakan fesyennya karakter dalam filem Matrix bagaimanapun disebabkan dia memakai serba hitam dengan celak tebal, Nadhir kelihatan seperti 'grim reaper'.
Aktor Hun Haqeem pula kelihatan santai dan selesa memakai kemeja dan seluar putih dilengkapkan dengan 'outer' kimono. Walaupun kelihatan 'simple' jika dibandingkan dengan tetamu lain yang bergaya lebih menonjol, tetapi jejaka yang sinonim dengan watak Jekfer menerusi siri Kampung People itu tetap menerima pujian.
Selain nama-nama yang disenaraikan di atas, antara selebriti lain yang busannya menarik perhatian adalah Uyaina Arshad, Bunga, Mimi Lana, Syafiq Kyle dan ramai lagi.
Busana siapa paling menarik di mata anda? - CARI
|