Bagi seorang penyanyi, adalah satu kejayaan yang boleh dibanggakan apabila wajah terpampang di papan iklan gergasi yang terkenal di Times Square, New York di Amerika Syarikat.
Baru-baru ini, Datuk Seri Siti Nurhaliza menambah kejayaan tersendiri dalam karier seninya apabila dia menjadi salah seorang penyanyi Malaysia yang menghiasi papan iklan popular berkenaan.
Pun begitu, sebaik sahaja berita mengenai figura yang mesra disapa sebagai Tok Ti itu tular, tiba-tiba muncul pula segelintir pihak yang seolah-olah mempertikaikan perkara tersebut hingga menjadi perdebatan hangat di Twitter.
Menerusi laporan Media Hiburan yang sempat menemubual Tok Ti, penyanyi itu memaklumkan dia enggan mengulas panjang mengenai hal tersebut kerana menganggap ia seperti kebudak-budakan.
Sesiapa yang kurang senang dengan pengiktirafan tersebut adalah lebih baik jika bertanyakan perkara itu kepada pihak yang terlibat dan bukannya memberikan komen tidak benar di media sosial.
"Respons saya mudah sahaja, saya tak mahu jadi budak-budak sebab apa yang ditulis di Twitter itu bukanlah mewakili diri saya dan kadang-kadang bukan juga mewakili peminat saya juga. Yang anggap seperti itu hanyalah orang luar.
"Tak perlulah saya ulas panjang mengenai isu billboard ini. Sebelum ini pun sudah ramai artis yang wajah mereka turut terpampang di sana tetapi kenapa bila giliran Siti Nurhaliza pula ada yang nak mengusik?" katanya.
Tok Ti turut menambah bahawa dia percaya muzik adalah platform yang menyatukan rakan industri dan bukannya menjadi punca perbalahan sama ada sesama rakan penyanyi mahu pun dalam kalangan peminat.
"Muzik ini sangat universal dan istimewa. Kalau saya pergi ke luar negara pun dan orang di sana tak faham pun bahasa saya tetapi mereka masih boleh menghargai saya.
"Itu jugalah yang patut berlaku iaitu menghargai sesama penggiat seni. Itulah yang selalu saya terapkan dalam setiap persembahan, nyanyian dan lagu-lagu saya.
"Sebelum buat apa-apa andaian, minta dahulu penjelasan daripada pihak berkenaan kemudian barulah boleh bagi komen. Kalau tersilap komen maka ia akan menjadikan situasi kurang selesa," katanya. - CARI
|