Penyanyi Saripah Raziah Mustapha atau lebih dikenali sebagai Ifa Raziah tampil memberikan reaksi berkenaan dakwaan seorang ustazah yang mengaitkan ibadah umrah yang dikerjakannya sebanyak tiga kali meski tidak menutup aurat dengan sempurna sebagai tanda-tanda istidraj.
Menurut laporan Media Hiburan, wanita berusia 47 tahun itu rasa terpanggil untuk menjelaskan perkara tersebut walaupun kenyataan agamawan berkenaan disifatkan sebagai umum.
"Siapa orang itu yang nak letak saya istidraj? Dia tahu ke maksud istidraj? Jangan buat kerja Tuhan. Setahu saya yang jahil dan seorang pendosa ini, istidraj itu adalah orang yang lupakan Allah SWT. Nak sebut nama Allah pun ketat hati dia.
"Walaupun saya seorang pendosa tetapi kehidupan saya lagi Islam daripada mereka yang memakai tudung. Perlukah saya tunjuk waktu malam saya bangun tahajud, buat live setiap kali solat atau ketika saya belajar mengaji secara online?
"Seandainya saya tergolong dalam istidraj, saya tak buat perkara-perkara yang menjadi rutin hidup saya," katanya ketika dihubungi Media Hiburan.
Sebelum ini, tular sebuah video pendek memaparkan kenyataan Ifa mengenai jemputan umrah biarpun belum berhijab mencetuskan kemarahan orang ramai.
Ifa turut menjelaskan bahawa dengan kesenangan yang dimilikinya kini, dia boleh pergi ke mana-mana negara lain tetapi Allah menggerakkan hatinya untuk menjadi tetamu di Tanah Suci sebanyak tiga kali.
"Saya boleh pergi ke mana saja di dunia ini untuk bercuti tetapi kenapa saya pilih untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW dan saya nak cuci dosa saya di Tanah Suci... sebab saya sangat suka ke Tanah Suci jika dibandingkan negara lain.
"Di sana saya boleh dekatkan diri dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW. Itukah yang dinamakan istidraj? Saya pergi umrah atas keinginan sendiri dan dijemput Allah bukan sebab saya ada duit atau tidak... tapi atas jemputan Allah SWT.
"Kenapa manusia durjana ini semua nak pertikai kehendak Allah? Allah tahu saya belum bertudung tapi Allah jemput saya untuk belajar banyak perkara baharu dalam hidup ketika melakukan ibadah membuatkan saya lebih baik berbanding dulu serta banyak luangkan masa dekatkan diri dengan Allah," katanya.
Tambahnya lagi, dia sendiri tahu bahawa mendedahkan aurat itu adalah dosa dan ia adalah perkara wajib. Bagaimanapun, dia memohon agar orang ramai mendoakannya seiring dengan hasratnya untuk menutup aurat dengan sempurna. -CARI
|