Mac lalu, pelakon Aedy Ashraf mengejutkan ramai pihak apabila dengan beraninya 'melamar' aktres Amelia Henderson untuk menjadi kekasihnya di khalayak ramai. Perkara itu pastinya menjadi berita gembira buat peminat serta pengikut drama Kisah Cinta Kita lakonan dua figura ini.
Selepas 'lamaran' itu, peminat membayangkan lebih banyak foto manis bersama akan dikongsikan. Bagaimanapun, tidak ada hantaran gambar berdua seperti yang peminat harapkan menyebabkan timbul desas-desus mengatakan 'lamaran' itu hanya gimik semata-mata.
Malahan, Aedy mahupun Amelia tidak memberikan sebarang kenyataan menjelaskan 'lamaran' berkenaan. Ia menyebabkan ada segelintir netizen yang tertanya-tanya status hubungan sebenar mereka.
Memetik laporan mStar, pemilik nama sebenar Addy Ashraf Rosmadi berkata bahawa perjalanan percintaannya akan lebih bermakna tanpa pengetahuan umum. Namun, jejaka berusia 29 tahun itu menegaskan tindakannya melamar Amelia dilakukan secara spontan dan bukan gimik.
"Dari dulu lagi saya sudah biasakan diri untuk menjadikan kisah peribadi sebagai sesuatu yang private. Di Instagram pun saya jarang berkongsi. Kisah hidup sendiri akan jadi lebih bermakna andai tidak terlalu didedahkan kepada umum.
"Mengenai lamaran itu, saya sendiri pun terkejut dengan keberanian diri sendiri. Ia sama sekali tidak dirancang atau sengaja direka untuk mencipta gimik," katanya.
Aedy yang mula bekerja sebagai pelakon seawal usianya tujuh tahun menjadikan kerjaya sebagai keutamaan serta sanggup melepaskan nikmat waktu muda demi mengukuhkan kerjayanya.
Malahan, sehingga kini pun jadual harianya cukup sibuk dengan urusan kerja hinggakan tidak ada masa untuk diri sendiri apatah lagi keluar bersama kekasih.
"Jujur saya katakan, kehidupan saya tak seimbang. Saya lebih utamakan kerja dan tiada masa untuk diri sendiri. Waktu untuk bersama keluarga pun saya terpaksa korbankan.
"Mahu keluar dating pun tiada masa. Amelia sendiri pun sibuk dengan kerja. Mungkin sebab itulah kami serasa sebab masing-masing faham dengan tanggungjawab," katanya.
Dalam perkembangan lain, Aedy bakal tampil dengan filem War On Terror melakonkan watak sebagai anggota polis. -CARI
|