|
Datuk Aishah sudah mencadangkan kepada penganjur konsert solonya, Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) untuk mengubah tarikh persembahan yang sama dengan konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 pada 6 Ogos depan.
Aishah, 57, atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin berkata, dia seboleh-bolehnya tidak mahu peminat berbelah bahagi selain mahu kedua-dua konsert mendapat sokongan penuh daripada semua pihak.
Foto: IG
"Sebenarnya pihak DFP mahu mengumumkan konsert itu minggu ini, tapi saya katakan pada mereka, tidakkah mereka kasihan sebab peminat dan media akan berbelah bagi nanti. Jadi mungkin mereka kena berbincang semula.
"Bagi saya, tak guna nak berlaga-laga dan disebabkan itu, DFP perlu putuskan. Saya tidak kisah adakan konsert itu seminggu atau dua minggu kemudian, tetapi tidaklah pada malam yang sama.
"Rasa sayang kalau ia tetap diteruskan kerana kita tidak dapat sokongan penuh daripada peminat dan media. Konsert ini kita yang buat, jadi ia boleh diubahsuai. Saya pun mahu pergi tengok konsert mereka," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Aishah, tidak timbul soal risau peminat tidak datang menonton konsertnya jika tetap diteruskan pada tarikh sama.
"Kalau nak cakap pasal risau tak ramai penonton datang, itu saya serah pada rezeki. Kita bukan selalu buat konsert besar sebegini. Saya menunggu 35 tahun nak buat konsert ini dan bila dapat tarikh, pandemik Covid-19 pula melanda dan ia terpaksa ditangguhkan selama dua tahun.
"Jadi, saya okay kalau tarikh konsert saya dianjakkan. Mujur tiket belum dijual lagi. Industri muzik kita bukan besar, jadi kita memerlukan sokongan daripada semua pihak, peminat, media dan sebagainya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharu Ketentuan Takdir, semalam.
Aishah dijadualkan bakal tampil dalam konsert yang dipimpin Ahmad Muriz menerusi konsert solo, Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous pada 6 Ogos, jam 8.30 malam. -CARI
Sumber: Harian Metro
|
|