CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 806|Reply: 0

Berilah respon secara tertib

[Copy link]
Post time 24-5-2022 10:42 AM | Show all posts |Read mode
Berilah respon secara tertib



Beberapa minggu yang lalu timbul isu terdapat pihak tidak bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) dalam mesyuarat ke-117 pada 2020, bahawa Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani dibenar untuk diamalkan pengikutnya selagi tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunah Waljamaah dan syariah serta uruf setempat. Maka, keputusan pengharamannya terdahulu pada 2000 tidak lagi terpakai.

Perubahan keputusan ini adalah berdasarkan informasi baharu yang diperoleh menerusi soal jawab atau pembentangan yang dilaksanakan oleh pihak berkaitan. Ia dilakukan secara tertib, teratur dan profesional serta diadili atau dinilai oleh mufti dan pakar bidang yang berautoriti seperti bidang akidah, tasawuf dan seumpamanya. Maka, komentar atau respons secara tidak profesional hendaklah dielakkan jika berlaku perkara seumpama ini lagi. Ini kerana, ia berpotensi menjadi kempen pembencian kepada mufti, ulama dan pakar bidang berkenaan dalam kalangan masyarakat.

Semua pihak perlu memahami peranan dan kedudukan MKI tersebut. Dalam laman sesawang rasmi kerajaan http://e-smaf.islam.gov.my, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ditubuhkan pada awal 1970 sebagaimana diperuntukkan pada Perkara 11 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). Jawatankuasa ini adalah badan pengeluar fatwa di peringkat kebangsaan atas apa-apa perkara yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja.

Sementara MKI yang dipengerusikan Perdana Menteri adalah badan penyelaras di peringkat Persekutuan yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja pada Mac 1968.

Berbeza dengan amalan sebelum ini, Pengerusi MKI disandang Perdana Menteri, tetapi kini dipilih oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja Melayu dalam kalangan baginda. Sebelum ini Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan (JKT) pernah menjelaskan perkembangan berhubung pemilihan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 baru-baru ini, telah membuat ketetapan bahawa seorang daripada Raja Pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab Pengerusi MKI selama dua tahun. Perdana Menteri pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MKI selaras dengan perakuan JKT itu. Kebetulan dalam isu berkaitan tarekat tersebut, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, Klang, bertitah, kenyataan berhubung keputusan Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani adalah bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, MKI dan Majlis Raja-Raja.

Pemilihan Sultan Selangor itu berdasarkan laporan JKT mengandungi 157 syor mengenai cadangan penambahbaikan institusi Islam peringkat Persekutuan dipersembahkan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-256. Antara cadangan penambahbaikan ialah penggubalan Peraturan MKI 2022 untuk menggantikan peraturan lamanya.

Dahulu, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan telah bersidang buat pertama kalinya pada 23 hingga 24 Jun 1970 yang dipanggil dengan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan tersebut berlangsung sebanyak 18 kali dan yang terakhir diadakan pada 14 Mei 1980. Kemudian penggunaan perkataan Persidangan ditukar kepada perkataan Muzakarah. Maka pada tarikh 28 hingga 29 Jun 1981 diadakan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Kali Yang Pertama.

Tugas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengikut pada Perkara 14 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia adalah menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa atas apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja. Jawatankuasa ini akan mengemukakan pendapatnya kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang kemudian menghantarkannya bersama dengan pengesyoran-pengesyoran kepada Majlis Raja-Raja.

Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdiri daripada:

a)     Seorang pengerusi yang dilantik oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) dalam kalangan ahlinya;

b)    Mufti tiap-tiap negeri yang mengambil bahagian atau seorang yang mewakili Negeri dalam Hal Ehwal Agama Islam;

c)     Sembilan orang alim ulama dan kalangan profesional serta pakar-pakar muslim yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja; dan

d)    Seorang ahli yang beragama Islam daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang atau daripada profesion undang-undang yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

Pengeluaran pandangan hukum/fatwa oleh Jawatankuasa adalah melalui dua cara;

(i) Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI - Titah Majlis Raja-Raja

Proses pengeluaran hukum/fatwa ini bermula apabila Mesyuarat Majlis Raja-Raja menitahkan supaya Jawatankuasa Fatwa MKI memberikan pandangan hukum/fatwa tentang sesuatu isu yang timbul dalam masyarakat. Isu yang dikemukakan akan dikaji, disediakan satu kertas kerja berkaitan dan kemudiannya dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa MKI.

Apabila Mesyuarat telah mengeluarkan pandangan hukum/fatwa, maka pandangan hukum/fatwa berkenaan akan dirafa'kan kepada Majlis Raja-Raja melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Pandangan hukum/fatwa yang telah diperkenan oleh Majlis Raja-Raja tersebut akan dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri tanpa boleh dipinda dan seterusnya diwartakan sebagai fatwa negeri berkenaan.

(ii) Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah MKI - Permohonan masyarakat Islam

Proses pengeluaran hukum/fatwa ini adalah melalui permohonan daripada masyarakat Islam atau pihak-pihak tertentu. Isu yang dikemukakan akan dikaji, disediakan satu kertas kerja berkaitan dan kemudiannya dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI. Pandangan hukum/fatwa yang diputuskan dalam Muzakarah ini akan dibawa ke Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri dan negeri boleh meminda keputusan tersebut atau menerimanya tanpa pindaan sebagai fatwa negeri dan seterusnya diwartakan. Pandangan hukum/fatwa yang diputuskan dalam Muzakarah ini juga akan dirafakkan untuk perkenan Majlis Raja-Raja melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Pihak-pihak tertentu yang pakar akan dipanggil untuk memberikan pandangan dan penjelasan terhadap isu-isu yang tidak jelas atau memerlukan penjelasan dan taklimat terperinci supaya semua Ahli Jawatankuasa Fatwa MKI (kini disebut Jawatankuasa Muzakarah MKI, tanpa perkataan Fatwa) mendapat maklumat yang tepat bagi membuat dan memutuskan sebarang keputusan.

Rumusannya, diharapkan menerusi kefahaman tentang sejarah dan peranan MKI ini dapat mendorong pelbagai pihak untuk menghormati mereka dalam keputusan yang telah diambil. Apatah lagi ia dilakukan secara ilmiah, profesional dan tertib dengan penglibatan pakar bidang yang berautoriti yang mungkin kepakaran mereka tidak difahami oleh orang yang di luar bidang tersebut.

Sekiranya terdapat maklumat baharu tentang tarekat tersebut yang telah dipastikan bahawa ia bukanlah perkara khilafiah yakni jelas kemungkarannya, maka sampaikanlah menerusi salurannya kepada pihak MKI secara betul dan tertib, bukan persepsi samar yang tiada bukti jelas apatah lagi melibatkan kempen memburukkan para ulama. Meskipun para ulama tidak maksum tetapi perlu diingat, kita sendiri juga tidak maksum. Maka, insafilah dengan menghayati maksud hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Rasulullah SAW: "Allah SWT berfirman yang maksudnya: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku akan mengisytiharkan perang terhadapnya" (Hadis Riwayat al-Bukhari, nombor hadis 6502)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam kitab Fath al-Bari menyatakan, golongan wali Allah adalah orang yang mengenali Allah SWT, melakukan ketaatan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam beribadah. Manakala Ibnu Daqiq al-'Aid di dalam kitab Syarah al-Arba'in al-Nawawi menyatakan, Allah SWT memberi amaran kepada sesiapa yang memusuhi wali-Nya. Menurutnya, wali Allah ialah golongan yang berpandukan apa yang disyariatkan oleh-Nya, maka hendaklah berwaspada supaya tidak menyakiti hati para wali Allah.

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... espon-secara-tertib


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 11:37 PM GMT+8 , Processed in 0.059450 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list