Pengacara popular tanah air, Datuk Aznil Nawawi menegaskan agar setiap selebriti yang dilantik menjadi duta apa-apa produk terutamanya berbentuk suplemen agar mempunyai pengetahuan mengenai produk yang dipromosikan.
Figura yang mesra disapa sebagai Pak Nil ini menasihatkan golongan selebriti agar jangan terlalu 'overclaimed' bahawa produk yang mereka wakili itu mampu menyembuhkan sesuatu penyakit.
Memetik laporan Harian Metro, Pak Nil mengagumi sikap prihatin Doktor Rafidah yang sentiasa peka dengan situasi semasa serta memantau aktiviti promosi membabitkan artis dan produk kesihatan.
"Bagaimanapun, jangan hina artis kerana mereka juga memerlukan sumber pendapatan. Bagaimanapun, individu yang menjadi duta itu juga haruslah mempunyai pengetahuan mengenai produk serta kesannya.
"Mana-mana artis yang jadi duta ataupun yang mengeluarkan produk khususnya suplemen kesihatan tidak boleh mengatakan produk mereka boleh sembuhkan penyakit bimbang nanti akan menyebabkan pesakit tak nak berjumpa doktor lagi.
"Saya yang menjadi duta suplemen pun selalu ingatkan orang ramai jangan tinggalkan ubat doktor serta janji temu kesihatan di mana-mana pusat perubatan," katanya.
Tambahnya lagi, setiap individu sama ada yang diangkat sebagai duta mahupun menghasilkan produk sendiri tidak boleh mengambil ringan perkara seperti itu. Katanya, peranan ubat dan suplemen adalah berbeza namun kedua-dua mempunyai kesan baik terhadap penyembuhan sesuat penyakit.
Pak Nil turut mengakui dia adalah pengguna tegar makanan tambahan dan suplemen kerana menyedari gaya hidup serta pola pemakanannya menyebabkan tubuh badannya tidak mendapat nutrisi yang mencukupi.
"Kalau saya bukan pengguna dan tak percaya dengan produk, saya tak jadi duta Eskayvie. Tambahan pula produk ini diformulasikan oleh Doktor Perubatan, Dr Syid Ayob yang aris dengan dos bahan aktif dan kesan nutrisi disarankan," katanya. -CARI
|