Bekas finalis Miss Universe Filipina 2021, Jasmine Umali mengegarkan dunia ratu cantik apabila dia mendedahkan keputusannya untuk memeluk agama Islam. Sering tampil di pentas peragaan dengan pakai seksi, wanita itu tampak lebih manis apabila memakai hijab.
Menerusi hantaran baharu di Instagram, wanita berusia 25 tahun itu berkongsi sebuah gambar dia menggayakan niqab berwarna putih yang hanya menampakkan mata serta dahinya. Pada ruangan kapsyen, Jasmine berkata, dia lebih tenang apabila memakai niqab jika dibandingkan dengan pelitup muka.
"Walaupun saya melakukan peragaan dan menyertai Miss Universe Philippines, jauh di dasar hati setiap kali turun dari pentas saya rasa cemas. Ada banyak sebab kukuh dan penjelasan logik mengapa Allah SWT menyuruh kita menutup kepala dan menjaga aurat serta memakai pakaian yang longgar. Bagaimanapun, kenapa saya memilihnya adalah kerana saya cintakan Allah dan Islam," tulisnya.
Ketika mengumumkan mengenai pengislamannya, wanita itu turut menampilkan sepotong ayat Al-Quran beserta kapsyen 'tawakul'. Keputusannya untuk menganuti agama Islam bukan sekadar suka-suka tetapi dia turut mendapatkan nasihat daripada rakan mualaf yang lain.
Malahan, dia juga bertemu dengan individu yang pakar dalam agama Islam untuk meminta bimbingan agar menjadi muslimah yang lebih baik.
Memadamkan gambar-gambarnya di Instagram yang menampilkan dirinya yang terlalu seksi bagaimanapun wanita itu masih mengekalkan beberapa foto ketika menjadi model termasuklah gambar kenangan ketika menjadi finalis Miss Universe Filipina. -CARI
|