Pelakon kecil molek yang kini popular dengan rantaian Dendam Seorang Isteri, Nad Zainal sanggup menempuh jarak perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke Tapah, Perak demi kesihatan anak keduanya, Budi Kalsom yang menghidap masalah ekzema.
Aktres dengan nama lengkap Farah Nadia Zainal Abidin itu nekad membawa anaknya yang berusia setahun itu ke sebuah klinik di sekitar Tapah selepas ada seorang individu yang berkongsi cerita mengenai anaknya yang turut sama menderita masalah kulit namun kini bebas ekzema selepas mendapatkan rawatan di pusat perubatan berkenaan.
Menerusi Instagram, kata Nad, individu berkenaan ditemuinya secara tidak sengaja ketika singgah dia singgah sebentar Tasik Titiwangsa untuk bersenam. Orang yang digelarnya sebagai hamba Allah itu mendedahkan anaknya hampir kehilangan kaki akibat masalah ekzema kronik.
"Kata hamba Allah itu, anaknya ketika bayi mengalami masalah ekzema kronik sehingga bernanah. Kakinya naik hancur akibat ekzema sehingga doktor memberi amaran jika tidak ditahan di hospital, kaki boleh dipotong.
"Sekarang, anaknya sudah besar. Semalam ada jumpa, anaknya dah sekolah rendah dan bebas ekzema. Dulu dia tiada kereta tapi sanggup naik bas kerana orang lain kata Klinik Jaya bagus.
"Buat kakak tersebut, ia berakhir dengan kegembiraan sebab anaknya dah bebas ekzema. Sempat dia tunjuk kesan parut lama akibat digaru. Saya pun kagum jadi tak ada berlengah, bawa Som ke sini," katanya.
Nad turut berkongsi rasa puas hatinya terhadap layanan doktor dan jururawat yang bertugas di klinik berkenaan. Walaupun klinik terbabit hanyalah terletak di sebuah pekan kecil namun perkhidmatan yang ditawarkan serta pemeriksaan kesihatan setanding dengan pusat perubatan ternama.
"Selalunya penerangan yang diberikan doktor cuma sekitar lima hingga 10 minit tapi di sini lama betul. Doktor siap periksa guna lampu, sapukan antibiotik, beri risalah dan berbual panjang.
"Kos rawatan mengikut tahap ekzema. Doktor kata, keadaan Som tidaklah teruk cuma jangan dibiarkan sehingga melarat," katanya lagi.-CARI
|