CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 811|Reply: 0

Memburu malam diberkati

[Copy link]
Post time 1-5-2022 09:48 AM | Show all posts |Read mode
Memburu malam diberkati



PADA sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan terdapat satu malam yang dinamakan dengan malam al-Qadar atau istilah dalam bahasa Arab disebut sebagai Lailatulqadar.

Masyarakat Islam di Malaysia dan seluruh dunia sedang berada di fasa sepuluh malam terakhir Ramadan yang berpeluang untuk memburu dan mendapatkan keistimewaan Lailatulqadar.

Perkataan Lailatulqadar terdiri daripada dua kalimah iaitu pertamanya ialah Lailah yang memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari.

Kalimah keduanya pula ialah al-Qadar yang memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.

Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni menjelaskan bahawa malam al-qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan.

Lailatulqadar juga dikenali dengan nama Lailatulsyaraf yang bermaksud malam kemuliaan atau Lailatultajalli
yang bermakna malam Allah SWT melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.

Terdapat pelbagai keistimewaan Lailatulqadar yang disediakan bagi umat Islam yang ingin mengambil peluang pada malam tersebut.

Pertama, pada malam ini Allah SWT menurunkan kitab suci utama iaitu al-Quran al-Karim. Pemilihan waktu dan tempat yang tertentu untuk diberikan keutamaan mempunyai hikmah tersendiri yang tinggi dan besar.

Adakah wujud kemuliaan yang lebih agung dari suatu malam yang menjadi permulaan turunnya cahaya dan petunjuk kepada seluruh manusia setelah berlalunya beberapa abad kaum Quraisy yang berada dalam kesesatan menyembah berhala.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan." (Surah al-Qadr: 1) Allah SWT telah menurunkan al-Quran secara keseluruhan sekali gus dari Lauhul Mahfuzh ke Baitul 'Izzah yang ada di langit dunia. Kemudian Allah SWT menurunkan al-Quran kepada Nabi SAW secara beransur-ansur sesuai dengan peristiwa dan kejadian yang berlaku sepanjang 23 tahun.

Kedua, malam ini lebih baik dari 1000 bulan dan bersamaan dengan lebih kurang 83 tahun.

Terdapat pandangan menyatakan lebih baik dari seribu bulan adalah solat dan amalan pada Lailatulqadar lebih baik dari solat dan puasa di 1000 bulan yang tidak terdapat Lailatulqadar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan." (Surah al-Qadr: 1-3)

Lazimnya bangsa Arab mengira angka seribu sebagai suatu jumlah yang sangat besar. Oleh itu, sebutan seribu dalam ayat tersebut bukanlah bermakna seribu sahaja bahkan lebih.

Ketiga, malam tersebut penuh keberkatan. Malam penuh berkat ini adalah malam Lailatulqadar kerana banyak malaikat yang akan turun pada Lailatulqadar kerana pelbagai keberkatan pada malam tersebut dan turunnya malaikat menandakan melimpahnya berkat dan rahmat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan." (Surah al-Dukhan: 3)

Keempat, Lailatulqadar diiringi juga dengan turunnya malaikat yang diketuai oleh 'al-Ruh' iaitu malaikat Jibril pada malam al-Qadar dalam suatu angkatan yang besar untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang berpuasa dengan seikhlas hati.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Pada Malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka." (Surah al-Qadar: 4)

Keistimewaan 'al-Ruh' atau malaikat Jibril yang disebut dalam ayat di atas adalah bagi menunjukkan kemuliaan dan keutamaan malaikat Jibril.

Malaikat turun ketika ada yang membacakan al-Quran, begitu juga akan mengelilingi orang yang berada dalam majlis zikir dan majlis ilmu. Malaikat akan meletakkan sayap-sayap pada penuntut ilmu kerana sangat mengagungkan dan memuliakan.

Kelima, malaikat turun untuk mengucapkan 'salam sejahtera' kepada seluruh penduduk bumi.Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sejahteralah Malam (yang penuh berkat) itu hingga terbit fajar!." (Surah al-Qadar: 5).Ibn Kathir dalam kitab Tafsir al-Quran al 'Azhim menukilkan pendapat Mujahid yang menyatakan malam tersebut penuh keselamatan kerana syaitan tidak dapat berbuat sesuatu pada malam tersebut, baik berbuat buruk atau mengganggu yang lain.

Selain itu, turut membawa makna bahawa pada malam tersebut banyak yang terselamat dari hukuman dan seksaan kerana telah melakukan ketaatan pada Allah SWT pada malam tersebut.

Keenam, malam penulisan dan dicatatkan takdir tahunan seseorang. Imam Nawawi dalam kitab Syarh Muslim menjelaskan bahawa catatan takdir tahunan tersebut tentu saja didahului oleh ilmu dan penulisan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah." (Surah al-Dukhan: 4)

Ibnu Kathir menafsirkan bahawa pada Lailatulqadar akan diperhalusi di Lauhul Mahfuzh mengenai penulisan takdir dalam setahun, seterusnya akan dicatat ajal maut dan rezeki. Selain itu, turut juga akan dicatat segala sesuatu sehingga akhir dalam setahun.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki) dan di sisi-Nya-lah terdapat Ummul kitab (Luh mahfuz)." (Surah al-Ra'd: 39)

Ketujuh, pengampunan dosa setiap orang yang menghidupkan malam Lailatulqadar.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa melaksanakan solat pada malam Lailatulqadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan." (Riwayat al-Bukhari)

Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa yang dimaksudkan 'kerana iman' adalah membenarkan janji Allah SWT iaitu pahala yang diberikan kepada orang yang menghidupkan malam tersebut. Manakala 'mengharap pahala' bermakna mengharap pahala dari sisi Allah SWT, bukan kerana mengharap selainnya seperti berbuat riyak.

Demikianlah beberapa keistimewaan Lailatulqadar yang wajar diusahakan dan  dimanfaatkan setiap masyarakat Islam. Ya Allah, kurniakanlah kami rezki bertemu dengan Lailatul Qadar pada tahun ini.

Penulis Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor


Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... uru-malam-diberkati

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 11:16 PM GMT+8 , Processed in 0.174912 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list