CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 581|Reply: 0

Kanser peti suara menyebabkan bisu kekal

[Copy link]
Post time 30-4-2022 08:32 AM | Show all posts |Read mode
Kanser peti suara menyebabkan bisu kekal



PENJAGAAN suara sering dipandang remeh, malah ramai yang tidak cakna tabiat seperti kerap berdehem dan serak berpanjangan boleh menyebabkan komplikasi kesihatan berkaitan dengan peti suara.

Tidak mendapatkan rawatan awal, boleh menyebabkan komplikasi serius dengan situasi terburuk, pesakit kehilangan upaya untuk bercakap selama-lamanya.

Selain itu, jika peti suara terpaksa dibuang akibat kanser peti suara atau larink tahap akhir, pesakit juga akan kehilangan fungsi hidung termasuk untuk bernafas dan tiada lagi deria bau.

Menurut Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Marina Mat Baki, ramai yang menggunakan istilah suara satu anugerah diberikan Allah SWT tetapi kesedaran bagi menjaga 'aset berharga' itu masih rendah dalam kalangan masyarakat.

"Suara sangat penting untuk kelangsungan hidup. Bayangkan nak berkomunikasi, bersosial, menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak, bahkan kebanyakan kerjaya memerlukan interaksi.

"Disebabkan itu, penjagaan suara perlu dititikberatkan. Mungkin orang melihat, kerjaya tertentu misalnya hanya penyanyi perlu jaga suara, tetapi hakikatnya semua perlu melakukan perkara sama.

"Pertama, penjagaannya penting kerana kita tak nak suara bermasalah dan kedua, tidak mahu berisiko mendapat kanser," katanya ketika ditemui selepas Rakaman Laryngeal Karaoke Oleh Penyanyi Tanah Air Sempena Hari Suara Sedunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HTCM) anjuran Sekretariat Jaringan dan Alumni, Fakulti Perubatan, UKM, baru-baru ini.

Program bersempena Hari Suara Sedunia yang disambut pada 16 April setiap tahun itu menampilkan beberapa penyanyi popular tanah air termasuk Datuk Shafinaz Selamat, Misha Omar, Hael Husaini, Idayu dan vokalis 'scream' SOG, Riko Agus berpeluang melihat keadaan pergerakan peti suara mereka ketika menyanyi menerusi prosedur laringoskop.

Punca masalah peti suara

Mengenai kes kanser peti suara di Malaysia, katanya kebanyakan pesakit membabitkan lelaki.

"Kes kanser peti suara tidak sebanyak jumlah pesakit kanser payudara tetapi ia tersenarai di antara 10 jenis kanser yang paling banyak dihidap oleh rakyat Malaysia. Yang membezakannya, kalau didiagnos dengan kanser ini, kehidupan seseorang itu akan berubah sepenuhnya, tidak boleh lagi bercakap dan disebabkan fungsi hidung juga turut hilang, maka apabila kita bernafas, ia tidak lagi ditapis.

"Bagaimanapun, apa yang baiknya adalah ia masih boleh dirawat. Melainkan jika ia sudah mengganggu saluran pemakanan, dalam keadaan ini, ia memang sudah terlewat," katanya.

Mengulas punca utama masalah peti suara, beliau menjelaskan antaranya disebabkan merokok dan minum alkohol. Punca lain yang orang tidak berapa sedar berkaitan dengan profesion memerlukan bercakap dalam tempoh masa lama, seperti guru dan jurujual.


Prof Dr Marina Mat Baki

"Ramai pesakit saya adalah guru, mereka perlu bercakap dengan suara yang kuat ketika mengajar sehingga tekak menjadi kering. Kurang minum air apabila bercakap terlalu lama.

"Dalam situasi ini, peti suara berlanggar dalam keadaan kering menyebabkan kecederaan panggil trauma. Jika tidak dirawat, dalam jangka masa panjang, ia menyebabkan 'cyst' dan polip (benjolan cecair)," katanya yang turut berkongsi, ada pesakitnya dalam kalangan guru yang tidak boleh mengajar dan terpaksa melakukan kerja pejabat kerana kehilangan suara.

Bahaya berdehem

Antara tabiat buruk menyebabkan masalah kepada peti suara adalah kerap berdehem.

"Lagi banyak kita berdehem, lebih banyak kahak berkumpul. Biasanya kita berdehem kerana rasa tak selesa, seperti gatal dan seolah-oleh ada benda pada tekak. Lagi kerap berdehem akan menyebabkan lebih keradangan dan akan mendatangkan masalah kepada peti suara.

"Nasihat saya, apabila tekak rasa tidak selesa, lebih baik minum air untuk melegakannya. Punca berdehem ini antaranya disebabkan masalah resdung yang tidak dirawat," katanya.

Beliau turut menjelaskan, suara serak menunjukkan peti suara seseorang itu tidak normal, sepatutnya suara bagi setiap individu yang normal mestilah bersih dan jelas.

"Memang ada yang dilahirkan dengan suara serak, masalah ini berlaku pada perkembangan emborio. Ia agak sukar dirawat, sama seperti yang mempunyai parut pada peti suara.

"Bagi kanak-kanak, penyebab utama kerana suka menjerit sehingga menyebabkan terdapat nodul iaitu bengkak seperti jerawat.

"Masalah lain seperti papiloma, ia bukan kanser tetapi ketumbuhan disebabkan virus. Jika kecil, tidak mengapa, tetapi jika besar boleh menyekat saluran pernafasan," katanya.

Elakkan menjerit untuk jaga suara

Dr Marina turut menyarankan individu pernah dijangkiti COVID-19 dan mengalami simptom seperti sakit tekak dan serak perlu pantau suara dari masa ke masa.

"Mereka dijangkiti COVID-19 dan mengalami sakit tekak sehingga suara serak dan hidung tersumbat perlu ambil perhatian kerana jika tidak, ia akan berterusan untuk jangka masa lama.

"Jika berlaku perubahan suara ketika dijangkiti COVID-19 saya sarankan rehatkan suara dan cakap bila perlu sahaja, selain itu elakkan daripada menjerit atau berbisik," katanya.

Menyentuh rawatan disediakan, terdapat pelbagai kaedah ditawarkan bergantung kepada penyebab masalah suara yang dialami pesakit.

"Ada pelbagai rawatan antaranya menggunakan ubat-ubatan, pembedahan, selain terapi suara. Sebagai contoh, ada pesakit mengalami masalah, setiap kali keluarkan suara, dia rasa penat. Apabila melalui proses endoskopi, didapati peti suaranya bengkak disebabkan ada kahak dari hidung menyebabkan radang.

"Saya tidak jalankan pembedahan tetapi mengesyorkan pesakit buat rawatan hidung untuk mengurangkan alahan dialami," katanya.

Jaga suara hingga usia tua

Penyanyi yang juga guru vokal, Datuk Shafinaz Selamat, berkata amat penting memupuk kesedaran mengenai penjagaan suara dalam kalangan penyanyi profesional bagi memastikan mereka menggunakan instrumen vokal secara sihat.

"Sebagai guru vokal sangat penting untuk memahami bunyi yang sihat dan tidak sihat. Ada ramai guru vokal tidak faham anatomi suara, tetapi hanya mengajar berdasarkan gaya nyanyian. Bagi saya, yang penting menguasai nyanyian secara sihat.

"Sebagai penyanyi kita perlu memastikan suara dapat digunakan sepanjang hidup, tidak hanya mampu menyanyi ketika muda. Perkara ini ada terjadi kepada ramai penyanyi tidak dapat gunakan suara sampai mereka tua," katanya yang mahu membantu anak didiknya mengaplikasikan kaedah penjagaan suara dari aspek perubatan yang turut berupaya mengesan sekiranya terdapat penyakit berkaitan peti suara untuk rawatan lanjut.

INFO: Tip penjagaan suara

  • Minum air kosong yang mencukupi
  • Kurangkan makanan pedas, susu, aiskrim dan keju, berkafein.
  • Elak berdehem
  • Elakkan menjerit
  • Elakkan bercakap di tempat bising
  • Elakkan bercakap dalam tempoh lama.



Sumber:https://www.bharian.com.my/hujun ... yebabkan-bisu-kekal

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 03:02 PM GMT+8 , Processed in 0.149471 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list