Aksi gurauan (prank) sekumpulan individu di Indonesia menjadi sasaran kecaman netizen kerana berpakaian seperti pocong dan melompat ke tepi kereta yang lalu-lalang pada waktu malam untuk menakut-nakutkan orang ramai, lapor laman berita Suara.com.
Berdasarkan klip video dikongsikan akaun Instagram @memomedsos, seorang lelaki berpakaian serba putih menyerupai hantu pocong dilihat sedang berdiri di tepi sebatang jalan.
 Kredit foto: Suara.com/IG memomedsos
Sebaik sahaja kereta menghampirinya, dia melompat keluar dari tempat persembunyian dan menuju ke arah kereta yang bergerak laju.
Pemandu kereta tersebut kemudian didengari membunyikan hon kuat, berkemungkinan terkejut melihatkan kelibat pocong itu atau dia dapat meneka bahawa ia seorang manusia.
 Kredit foto: Suara.com/IG memomedsos
Video tersebut dirakam seorang lagi individu yang kemudiannya didengari ketawa melihatkan aksi tersebut.
Gurauan mereka dikecam netizen dengan ramai yang memarahi tindakan tidak bertanggungjawab individu-individu berkenaan.
Sumber: Kosmo |