CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 776|Reply: 0

Hikmah agung kewajipan menunaikan zakat fitrah

[Copy link]
Post time 23-4-2022 12:56 PM | Show all posts |Read mode

MEMBAYAR zakat fitrah pada harga lebih daripada sepatutnya adalah harus dan lebih afdal. – Gambar hiasan

Hikmah agung kewajipan menunaikan zakat fitrah

MENYAMBUT Ramadan dalam fasa endemik adalah satu berita yang amat menggembirakan umat Islam di negara ini setelah dua tahun mereka beraya secara sederhana di kediaman masing-masing.

Sudah pasti masing-masing berharap dapat pulang beraya di kampung halaman dan menyambut Syawal seperti sebelum pandemik.

Fasa endemik juga memperlihatkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dengan had masa lebih panjang.

Perkara ini pasti mendatangkan impak positif kepada kedudukan ekonomi negara.

Selain itu, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 juga disambut baik oleh rata-rata rakyat, terutama bagi mereka yang masih merasai kesan pandemik atau banjir yang berlaku Disember tahun lalu.

Aliran wang dijangka lebih banyak sekiranya kesemua pengeluar wang caruman itu membelanjakan bagi kegunaan dalam negara.

Dalam pada itu, para ulama bersetuju bahawa antara sedekah yang paling afdal ialah di bulan Ramadan.

Hal ini sejajar dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi:

“Sesiapa yang menjamu makan bagi orang yang berpuasa ketika berbuka, baginya pahala seperti mereka yang berpuasa tanpa dikurangi sedikit pun.

Selain hadis ini, Salman al-Farisi meriwayatkan sebuah hadis sebagaimana yang terdapat di dalam kitab Misykat al-Masobih karangan al-Tibrizi (w. 741):

“Sesiapa yang melakukan ibadah sunat untuk menghampirkan diri kepada Allah di bulan Ramadan, ia seperti mengerjakan kefarduan di bulan-bulan yang lainnya.

Galakan untuk menginfakkan harta ini tidak terhenti setakat itu, ia juga didasari dengan jaminan Nabi dengan keberkatan terhadap harta mereka yang bersedekah, ia diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Tidak berkurangan sesuatu harta itu dengan bersedekah.

Nabi Muhammad SAW terkenal dengan sifat dermawan lebih-lebih lagi di bulan mulia ini.

Perkara ini merupakan satu pedoman yang perlu ‘dipasak’ dalam jiwa orang beriman setelah disajikan dengan pelbagai dalil, contoh dan panduan.

Jelas di dalam al-Quran, Allah menyeru agar manusia itu berinfak dan menginfakkan harta yang paling disayanginya seperti di dalam ayat 92 Surah Ali ‘Imran yang bermaksud:

“Membayar zakat fitrah di atas sekalipun berat bagi sesetengah manusia kerana seseorang itu perlu mengeluarkan (wangnya), yang mana ia bertentangan dengan nafsu yang suka memiliki dan melihat nikmat banyak.

Bagi melemahkan gangguan nafsu ini, Ramadan disajikan dengan gandaan pahala yang begitu banyak.

Sekiranya ibadah bersendirian pun digandakan Allah, bagaimana pula ibadah yang berbentuk manfaat atau bantuan kepada orang lain, bersandarkan kepada kaedah tindakan yang manfaatnya menjangkau kepada orang lain lebih baik berbanding manfaat terhad.

Ramadan sememangnya sinonim dengan gandaan pahala ibadat-ibadat sunat, apatah lagi yang wajib.

Boleh dibayangkan bagaimana seseorang yang berinfak kepada orang miskin ketika Ramadan sama ada sedekah sunat atau zakat fitrah yang wajib, infak itu kemudiannya memberikan sedikit sinar dan kegembiraan kepada si penerima.

Dengan itu, terhimpunlah ibadah memberi, menggembirakan orang lain, mendatangkan manfaat dan sebagainya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: Sebaik-baik ibadah selepas kefarduan ialah menggembirakan hati orang Islam yang lain (Riwayat al-Tobrani); dan sebaik-baik manusia yang disayangi Allah ialah mereka yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain (Riwayat al-Asbahani).

Dalam pada itu, zakat fitrah dikategorikan sebagai zakat yang wajib dibayar oleh setiap Muslim yang berkemampuan yang juga dikenali sebagai zakat badan.

Berbeza dengan zakat harta yang memiliki syarat tertentu sama ada berbentuk jumlah atau nisab dan masa iaitu haul.

Masa wajibnya zakat harta itu berbeza-beza mengikut individu, permulaan nisab serta penghasilan harta yang perlu dizakatkan, manakala zakat fitrah menjelang masanya ketika Ramadan sehingga satu Syawal.

Seperti yang kita sedia maklum, zakat disyariatkan oleh Allah sebagai mekanisme pengimbang atau perapat jurang antara kaya dan miskin.

Kemiskinan yang ada dalam Masyarakat adalah masalah ekonomi kerana ia melibatkan keperluan sesuatu isi rumah yang tidak dapat dipenuhi, sekali gus menyumbang kepada ketidakcukupan sesuatu.

Setelah itu, ia perlu diagihkan kepada asnaf bagi kegunaan mereka ketika menyambut Syawal sebagaimana yang tertulis dalam kitab-kitab fiqh berkaitan perkara ini.

Zakat fitrah pula dikenakan mengikut timbangan satu gantang makanan utama penduduk di satu tempat.

Di Malaysia, harga zakat fitrah menyamai 2.7 kilogram beras sekitar RM6.50 ke RM7 dan berbeza mengikut fatwa negeri-negeri.

Bagaimanapun, membayar zakat fitrah dengan nilai lebih dari sepatutnya adalah harus sebagaimana disebut oleh al-Nawawi di dalam Minhaj al-Tolibin.

Menurut al-Nawawi, sekiranya terdapat banyak jenis makanan utama di dalam sebuah negeri itu, memilih yang lebih mahal dan berat timbangannya paling afdal.

Kewajipan zakat fitrah ini melengkapi penghasilan dan pengagihan dalam setahun, menjadikan keperluan orang susah atau fakir yang berada di dalam sesebuah negeri itu sentiasa diutamakan.

Hal ini meraikan pandangan Islam bahawa masalah utama ekonomi itu bukanlah pada kekurangan sumber, tetapi pengagihan sumber dan dapat diselesaikan dengan pengurusan yang jelas dan telus.

Justeru, pada pensyariatan zakat fitrah ini, terdapat hikmah agung yang Allah ingin sampaikan kepada manusia.

Ia keadilan dalam ekonomi yang sebenar, bukan seperti didakwa oleh aliran kapitalis atau sosialis, sebaliknya keadilan pengagihan atau kitaran perkongsian rezeki yang lestari untuk kebaikan masyarakat secara amnya.



DR. MOHD. SHAHID MOHD. NOH ialah Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 12:32 PM GMT+8 , Processed in 0.062141 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list