CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 836|Reply: 0

Talkin adalah sunat

[Copy link]
Post time 21-4-2022 11:17 AM | Show all posts |Read mode
Talkin adalah sunat


GAMBAR HIASAN

Pernah saya menghadiri sebuah pengurusan jenazah dan ketika pengebumian, ahli keluarga inginkan agar talkin dibacakan, namun anak kepada jenazah berkeras tidak mahu talkin dibacakan kerana menurutnya ia adalah perbuatan bid'ah dan tidak ada hadis sahih yang mensabitkannya. Maka berlaku sedikit ketegangan antara sesama ahli keluarga sehinggalah akhirnya talkin tidak dibacakan.

Saya sedih melihat keadaan tersebut, bukan kerana talkin tidak dibacakan sebab hukumnya sunat, tidak wajib dan pengebumian tetap sah tanpa talkin. Tapi apa yang menyedihkan ialah kesalahfahaman segelintir pihak terhadap status hadis da'if sehingga ia menjadi penghalang baginya untuk melakukan sunah yang disepakati oleh jumhur ulama.   Tambahan pula, dia menganggap talkin adalah bid'ah yang patut dijauhi hanya kerana ia berdasarkan hadis da'if.

Ya benar hadis mengenai talkin adalah hadis daif yang berat. Namun ia tidak menghalang ulama menghukumnya sebagai sunah. Demikian kerana sunah bukan sabit hanya bersandar kepada hadis sahih semata-mata, akan tetapi juga sabit menerusi hadis da'if berat sekalipun.

Amalan talkin ke atas si mati di tepi kuburnya adalah diriwayatkan hadisnya daripada Sayyidina Abu Umamah al-Bahili.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, terdapat dua jalur riwayat Sayyidina Abu Umamah al-Bahili pada hadis talqin yang kedua-duanya adalah bertaraf da'if jiddan. (Ruj: al-Futuhat al-Rabbaniyyah Sharh al-Adhkar al-Nawawiyah li Ibni 'Allan, 4/196)

Sungguhpun hadis talkin bertaraf da'if jiddan (da'if berat), penerimaan ulama secara meluas (Talaqqi bi al-Qabul)   terhadapnya menyebabkan statusnya naik kepada sahih dan mutawatir. Hal tersebut dijelaskan oleh   Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Nuzhat al-Naẓar (Fasl al-Khabar al-Muhtaffu bi al-Qarā'in wa Bayānuha), beliau menyatakan dalam penilaian sesebuah hadis, selain daripada melihat kewujudan riwayatnya terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim serta penilaian terhadap jalur sanadnya, qarinah yang terkuat lebih daripada itu semua adalah al-Talaqqi bi al-Qabul iaitu kesepakatan ulama untuk menerima sesuatu fakta yang terdapat dalam sesebuah hadis itu sehingga hanya dengan wujudnya al-Talaqqi bi al-Qabul itu satu sahaja sudah mencukupi untuk beramal dan mengakuinya kerana kekuatannya bahkan melebihi daripada hadis yang mempunyai jalur sanad yang banyak.  

Imam al-Sakhawi dalam Fath al-Mughith berkata: "Dan demikianlah, apabila ulama secara Talaqqi bi al-Qabul menerima sesebuah hadis da'if sebagai maqbul, maka ia diamalkan serta dianggap sahih. Sehinggakan ia boleh menjadi pada darjat mutawatir yang boleh memansukhkan hukum-hakam yang lain.

Mawlana Abd al-Hayy al-Laknawi dalam al-Ajwibah al-Fadilah (ms.228) menegaskan bahawa mana-mana hadis da'if yang mencapai Talaqqi bi al-Qabul adalah wajib untuk mengakui dan mengamalkannya sebagaimana hal tersebut ditegaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam al-Ifṣah 'ala Nukat Ibni al-Ṣalah dan demikian itulah apa yang dipegang oleh para imam-imam usul.  

Seluruh mazhab yang empat menyatakan talqin adalah sunah dibacakan. Dibawah ini keterangan ulama empat mazhab:

1. Mazhab Shafi'i

Imam al-Nawawi al-Shafi'i dalam kitabnya al-Majmu' (j.5, ms. 303) berkata: "Disunahkan mentalqin mayat segera setelah menguburnya, di mana seseorang duduk di depan kepala mayat, dan berkata: Wahai fulan anak fulan….sehingga akhir."

2. Mazhab Maliki

Imam Al-Mawwaq Al-Maliki, al-Taj Wa al-Iklil li Mukhtasar al-Khalil (j.2, ms. 375) berkata: "Jika mayat telah dimasukkan ke dalam kuburnya, maka sesungguhnya disunahkan mentalqinnya pada saat itu. Hal ini merupakan perbuatan penduduk Madinah yang saleh lagi baik."

3. Mazhab Hanafi

Imam al-Zayla'i al-Hanafi dalam kitabnya Tabyin al-Haqa'iq Sharh Kanz al-Daqa'iq (j.3, ms. 153) menyebutkan: "Sesungguhnya mentalqin mayat itu disyariatkan, sebab ruhnya dikembalikan kepadanya, begitu pula akalnya. Dia memahami apa yang ditalqinkan (diajarkan)."

4. Mazhab Hanbali

Imam al-Buhuti al-Hanbali dalam kitabnya Sharh Muntaha al-Iradat (j.1, ms. 374) menulis: "Dan disunahkan mentalqin mayat setelah dikebumikan dalam kuburan, bersandar kepada hadis riwayat Abi Umamah Al-Bahili radhiyallahu anhu."

Imam Ibnu Qayyim yang bermazhab Hanbali dalam kitabnya al-Ruh (ms.29) mengatakan amalan talqin adalah sunah meskipun ia bersandar kepada hadis yang tidak sabit.  

Ketika beliau membicarakan mengenai riwayat berkenaan kelakuan orang hidup diketahui orang mati, beliau berkata: "Hal tersebut menunjukkan bahawa sesungguhnya orang-orang yang telah mati mengetahui keadaan orang-orang hidup, mengetahui kunjungan ziarah mereka dan mendengar salam mereka ke atasnya, sebagaimana amalan yang telah berlangsung sejak awal sehingga saat ini dari pembacaan talqin ke atas mayat di kuburnya. Dan ditanya Imam Ahmad bin Hanbal akan hal tersebut maka beliau memandangnya sebagai amalan yang baik dan beliau berhujah dengan pengamalan ahli ilmu terhadapnya."  

Selanjutnya Imam Ibnu Qayyim menyebutkan sebuah hadis da'if secara penuh dari al-Mu'jam li al-Tabrani mengenai amalan talkin ke atas si mati di tepi kuburnya, lalu beliau berkomentar: "Sungguhpun hadis ini tidak sabit, namun pengamalannya yang berterusan secara turun temurun oleh orang ramai (ahli ilmu) di segenap tempat dan setiap era tanpa sebarang penafian, adalah cukup untuk menjadi bukti untuk diamalkan. Demikian itu adalah kerana Allah Ta'ala tidak sekali-kali mentakdirkan sebuah kebiasaan ke atas umat yang merata di Timur dan Barat, yang mana umat ini umat yang paling sempurna akalnya dan paling banyak pula pengetahuannya, untuk mengungkapkan perbicaraan kepada sesuatu yang tidak dapat mendengar atau mengerti? Padahal seluruh umat menganggapnya sesuatu yang baik dan tidak ada sesiapa yang menafikannya. Bahkan ia sunah yang bermula daripada golongan terdahulu lalu diikuti oleh yang terkemudian. Kalaulah orang yang ditujukan perbicaraan itu tidak dapat mendengar, nescayalah ia sama seperti berbicara kepada tanah, kayu dan batu nisan atau kepada seseorang yang tiada (al-ma'dum)."

Amat penting membezakan apa yang dimaksudkan dengan perkataan sunah dan bukan sunah, adakah ia sunah dalam definisi fuqaha atau muhaddithin. Definisi yang sepatutnya digunakan oleh masyarakat awam ialah apa yang disebut oleh fuqaha iaitu sunah ialah apabila melakukannya mendapat pahala, meninggalkannya tak dapat apa-apa, bukan definisi sunah yang dipegang oleh muhaddithin iaitu: "Segala peninggalan Nabi Muhammad SAW baik berupa perkataan, perbuatan, keputusan, mahupun sifat."

Mengheret masyarakat awam kepada definisi sunah yang digunapakai oleh muhaddithin dengan menggesa mereka untuk semak status hadis dan mencari dalil pada setiap gerak geri ibadah adalah sebenarnya meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. al-Hafiz Ibn al 'Arabi al-Maliki (m. 543 H) sangat keras terhadap literalis yang menuntut dalil berbentuk nas bagi setiap masalah hukum. Dalam 'Aridah al-Ahwadhi (Abwab al-Zakat, ms.104), syarah Sunan al-Tirmidhi, beliau menyebut sikap ini menyalahi salaf, bahkan menyebut mereka sebagai 'keldai.'

Ulama mensyariatkan amalan talkin bukanlah hanya sebagai tazkirah untuk orang yang masih hidup, akan tetapi ia turut membantu orang yang sudah meninggal dunia dalam meneguhkan dan memantapkan si mati menghadapi alam barzakh dan persoalan Munkar dan Nakir kerana pendengaran orang yang sudah meninggal itu lebih tajam berbanding orang-orang hidup yang hadir pengebumian sebagaimana hal itu sabit secara sahih dalam peristiwa Nabi Muhammad SAW berbicara di Badar yang ditujukan buat orang-orang yang telah meninggal.   (al-Bukhari)

Selain amalan talkin, berdoa adalah cara orang yang masih hidup dapat membantu si mati sesuai dengan sabda Rasulullah SAW: "Mintalah pengampunan untuk saudara kamu, dan mintalah kepada Allah supaya dia mendapat ketetapan, sesungguhnya dia (jenazah) sekarang ini sedang disoal." (Riwayat Abu Daud)

Amalan talqin adalah sunah dan status hadisnya telah naik kepada sahih dan mutawatir disebabkan faktor penerimaan ulama secara meluas terhadapnya (Talaqqi bi al-Qabul).  

Diharapkan selepas ini, tidak ada lagi isu bid'ah membid'ah dalam amalan talqin yang dilaksanakan oleh masyarakat Islam. Kita boleh berbeza pendapat, akan tetapi jauhi sikap tergesa-gesa dan gopoh dalam melabelkan ke atas orang lain dengan sesat dan bid'ah.

Jangan hanya kerana melihat status sesebuah hadis itu da'if walau berat sekalipun, terus ia menjadi harga mati untuk amalan tersebut ditolak. Demikian adalah kerana mengetahui status hadis bukanlah produk terakhir dalam pembentukan sesebuah hukum dan amalan dalam agama kita.

Sesungguhnya kaedah pendalilan di sisi ulama muktabar bukan semudah itu. Cukuplah kita mengikut apa yang dihidangkan oleh ulama muktabar kepada kita untuk mengamalkan apa yang patut diamalkan dan meninggalkan apa yang patut ditinggalkan. Semoga bermanfaat.



Penulis Pengerusi Pertubuhan Al-Isyraq dan juga pendakwah bebas

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... talkin-adalah-sunat

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 03:51 AM GMT+8 , Processed in 0.053994 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list