|
Biarpun kumpulan muzik lain bersilih ganti bertukar anggota, kumpulan Bunkface tetap utuh bersama hingga hari ini.
Bukan tempoh yang singkat, sebaliknya tiga anggota Bunkface, Sam, Youk dan Paan sudah melalui ranjau dan duri bersama selama 15 tahun.
Vokalisnya, Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Anuar Baharom, 35, berkata, mereka tidak akan terus bersama dan tidak akan berhenti mengeluarkan karya baharu buat peminat, setiap tahun.
Foto: IG
"Bunkface adalah band sepenuh masa. Kami bukan seperti sesetengah band lain yang hanya menjadikan kerjaya muzik sebagai projek sampingan.
"Selagi bergerak atas nama Bunkface, selagi itulah kami akan terus berkarya. Keutamaan adalah lagu-lagu kami.
"Kekal relevan itu terpulang kepada peminat untuk menilai. Bunkface akan terus bersama dan berkarya sebaik mungkin selagi mampu, insya-Allah," katanya kepada BH Online.
Tambah Sam, biarpun sudah berkeluarga dan meningkat usia, ia tidak menghalang Bunkface terus aktif.
Malah, katanya, setiap kali menghasilkan karya baharu, mereka sentiasa teruja menarik peminat baharu.
"Kami teruja terus menghasilkan karya baharu agar Bunkface dapat menarik peminat generasi baharu terhadap muzik kami.
"Ada peminat terdahulu sudahpun bergelar bapa dan ibu orang, kini kami ingin 'membeli' jiwa anak-anak mereka pula," katanya.
Bagi membuktikan semangat dan jiwa dalam berkarya, Bunkface juga akan tampil dengan album kelima. Lebih istimewa, ia turut disertai konsert sempena 15 tahun dalam industri muzik.
"Bunkface sedang dalam proses rakaman album kelima. Insya-Allah, dalam tahun ini juga.
"Selain itu, Bunkface juga sedang mempersiapkan diri untuk konsert ulang tahun ke-15 yang tertangguh akibat pandemik COVID-19, sejak tahun lalu," katanya.
Tidak hanya itu, Sam berkata, mereka tampil dengan single baharu berjudul Korang dicipta khas buat peminat dan sahabat rapat Bunkface.
Pada masa sama, katanya, ia turut menceritakan permulaan perjalanan Bunkface sebagai band yang bergerak secara 'independent'.
"Kami sangat menghargai pengalaman dilalui bersama dengan peminat dan sahabat rapat sekeliling yang tidak pernah putus berdiri teguh di belakang Bunkface.
"Single Korang menceritakan asal usul perjalanan Bunkface. Jika ditanya mesej terbesarnya, walau setinggi mana pun kejayaan yang dicapai, jangan sesekali lupa asal usul, sahabat dan insan yang menyokong ketika tidak memiliki apa-apa.
"Karya ini adalah untuk anda semua. Kita semua ada memori, hati, orang tersayang dan semua orang ada 'Korang'," katanya.
Tidak seperti kebanyakan karya Bunkface, single Korang adalah karya ciptaan bersama penulis seperti Epul Kuat, Izzy Musa dan Shahir termasuk Youk dan Paan.
Single Korang dilancarkan pada 16 Mac lalu di seluruh platform digital. Video muzik rasmi Korang pula dilancarkan pada 18 Mac menerusi laman YouTube rasmi Bunkface. -CARI
Sumber: Berita Harian
|
|