Termakan dengan kata-kata manis seorang rakan mengenai kesan pencerahan dengan kaedah whitening drip, wanita yang menggunakan nama Ladyvin di TikTok akhirnya terpaksa menerima hakikat dia kini adalah penghidap kanser.
Berkongsi kisahnya menerusi aplikasi tersebut, dia menyesali tindakannya yang mudah percaya dan obses untuk mendapatkan kulit cerah membuatkan dia berani untuk melakukan kaedah terbabit.
"Jangan lakukan prosedur whitening drip. Ini nasihat saya untuk kamu semua. Saya kongsikan pengalaman ini agar tidak ada yang salah buat pilihan.
"Nak cantik biar cara selamat. Dengar nasihat saya. Jangan mudah terpengaruh nak cantik nak putih. Apa Allah bagi, bersyukur," tulisnya.
Menjalani rawatan kemoterapi, bukan mudah baginya untuk reda dengan keadaan diri apatah lagi melihat rambutnya yang banyak gugur hanya selepas 14 hari selepas rawatan.
Dia juga menjalani dua kali pembedahan mastektomi iaitu istilah yang digunakan untuk membuang satu payudara, atau seluruh payudara, atau nodus limfa di bahagian ketiak bagi mencegah penyebaran kanser.
Walaupun apa yang dilaluinya itu adalah satu penderitaan yang berat untuk ditanggung, wanita itu bagaimanapun menyifatkan ia adalah ujian dari Allah untuk menjadikan dia insan lebih kuat.
Kini semakin pulih, wanita itu memilih untuk menjalani gaya hidup sihat selain menyebarkan maklumat mengenai bahayanya whitening drip. -CARI
|