Penyanyi Datuk Ramli Sarip, 69, tampil dengan album solo ke-12 berjudul Rasa kerana perasaan itulah yang dizahirkan menerusi lagu-lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan.
Lebih 50 tahun melayari suka dukanya dalam dunia seni nyanyian, penyanyi itu sememangnya cukup menyukai perkataan 'rasa' kerana ia adalah rencah penting buat seorang penyanyi.
"Apabila membuat persembahan atau main muzik, mesti ada rasa. Ia bukanlah ilham tetapi kurniaan yang Allah berikan. Apabila seseorang hilang rasa dan perasaan, ia akan jadi lain.
"Apabila anda mendengar album baharu itu, anda akan dapati ia adalah peningkatan dalam diri saya secara peribadi," katanya.
Kali terakhir penyanyi itu menghasilkan album adalah pada 2002 berjudul Kalam Kesturi.
Oleh itu, pembikinan album Rasa adalah antara pengalaman manis dan terbaik yang pernah dirasakannya.
"Sepanjang tempoh rakaman, dua tiga kali saya mengalirkan air mata. Saya teringat rakan-rakan dan keluarga yang sudah pergi," katanya.
Ramli kehilangan rakan baik yang juga pemuzik pengiringnya, Allahyarham Aji (gitar) dan Kelly (bass) yang meninggal dunia akibat serangan jantung sebelum ini.
Penyanyi itu juga bertindak merakamkan semula lagu Ayah Dan Ibu sebagai tanda penghargaan buat kedua individu yang berjasa itu. - CARI
|