|
DATUK RAMLI SARIP
Ramli Sarip terus menongkah arus
GELOMBANG Covid-19 menjadikan industri seni tempatan bergerak perlahan sementelah ada ketika semua aktiviti seni terpaksa ‘dibekukan’ buat sementara waktu.
Situasi tersebut bagaimanapun bukanlah alasan buat figura terkenal dengan gelaran Papa Rock, Datuk Ramli Sarip untuk berehat.
Dalam keadaan ramai anak seni kecundang dan menukar haluan karier demi kelangsungan hidup, penyanyi asal Singapura itu tetap mempertahankan momentum.
Biarpun ‘kakinya’ terikat di Singapura kerana pintu sempadan antara Malaysia – Singapura pernah ditutup untuk satu tempoh agak lama, beliau tidak mengalah, sebaliknya menggunakan tempoh ‘rehat’ sebaik mungkin dengan membikin karya baharu.
Bertitik tolak dari situ, terzahirlah album Rasa selepas sembilan tahun penyanyi yang popular dengan lagu Kamelia itu menyepi tanpa sebarang buah tangan baharu.
“Album ini terhasil ketika pandemik Covid-19 mula melanda. Waktu itu saya berada di Singapura dan tidak boleh ke Malaysia. Saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan, kerana kebiasaannya saya di rumah paling lama tiga hari, kemudian akan keluar bekerja.
“Disebabkan pandemik saya tidak boleh ke mana-mana, jadi saya mula membikin album. Sekurang-kurangnya ada kerja untuk dibuat.
“Alhamdulillah, walaupun ada kekangan terutama dari segi pergerakan dan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang perlu dipatuhi, Rasa dapat disiapkan dalam waktu yang agak cepat iaitu sekitar tiga bulan sahaja,” ujar Ramli Sarip membuka bicara.
RAMLI berasa puas dan tidak melihat penjualan album secara fizikal sekadar menempah kerugian.
Bagi penyanyi yang telah menghasilkan 21 buah album sepanjang setengah abad karier seninya, Rasa disifatkan satu daripada karya terbaiknya.
Album yang memuatkan 10 buah lagu antaranya, Kekasihku, Ayah dan Ibu, Ronggeng Rakyat, Cinta Di Sebalik Musim, Nyanyian Sejagat, Irama Kasih, Srikandi Zaman dan Orang Tua Bersidi Sakti tersebut disulami pelbagai elemen muzik tetapi masih berpaksi kepada identiti Ramli Sarip.“Album ini adalah satu peningkatan dalam diri saya.
Malah, ketika membikinnya memberi pengalaman rohani yang manis buat saya.
“Semasa proses rakaman, tiga, empat kali saya dan pemuzik mengalirkan air mata.
“Lagu-lagu dalam album ini membuatkan kami semua terkenang rakan-rakan yang telah dijemput Ilahi dan keluarga dalam keadaan kita semua tersekat kerana pandemik.
“Meskipun perit dan sedih, segala emosi itu memberi saya inspirasi untuk berkarya,” kongsi Ramli.
Dalam keadaan semua anak seni sudah semakin jarang menghasilkan album penuh dan dalam bentuk fizikal, Ramli menongkah arus dengan berani.
SELEPAS kali terakhir membikin karya sembilan tahun lalu, Ramli Sarip kini muncul dengan album studio penuh, semuanya terhasil impak penularan Covid-19.
Fizikal
Tidak memikirkan keuntungan semata-mata, tegas Ramli album Rasa dihasilkan atas dasar tanggungjawab dan kepuasan selaku anak seni.
“Pertama sebab saya suka dan ini kerja saya. Kedua kerana tanggungjawab dan ketiga kerana Allah sudah kurniakan ilham kepada saya. Semua itu bukan percuma, jika tidak diangkat menjadi satu nilai murni (dalam bentuk lagu) maka rugilah.
“Tidak semua orang boleh membawa muzik ke arah positif. Insya-Allah jika diizinkan saya mempunyai 30 buah lagu baharu dalam simpanan. Jika ada rezeki saya akan hasilkan juga dalam bentuk album,” tutur Ramli.
Berbicara tentang penjualan album secara fizikal menerusi cakera padat (CD) yang sudah jarang berlaku dek kebanyakkan karya dijual secara digital, Ramli memiliki alasan tersendiri.
Jelasnya, kepuasan emosi menikmati sebuah album secara fizikal sangat berbeza dengan karya yang dibeli secara digital.
“Saya buat album secara fizikal sebab rasa nikmatnya berbeza daripada dengar lagu yang hanya dicucuk (secara digital).
“Jika album fizikal boleh diamati helaian liriknya dan perlu ambil masa untuk memasang lagu.
“Contohnya menonton bola di stadium dan di rumah ada beza rasa semangat itu, begitulah jika mendengar album secara fizikal berbanding digital.
“Ada orang masih inginkan CD untuk disimpan sebagai kenangan atau koleksi. Jadi, bagi saya permintaannya masih ada,” katanya yang mampu menjual sekitar 60 CD album terbaharunya setiap kali mengadakan persembahan pentas.
Tetap akur dengan perubahan teknologi, Ramli tidak juga menolak penjualan album secara digital.
Pihaknya juga mempunyai strategi untuk penjualan digital album Rasa.
“Saya tidak menolak digital, selepas ini album Rasa tetap akan dijual secara digital kerana lebih mudah dan menyeluruh penjualannya, tetapi harus menunggu masa yang sesuai.
“Semua orang hendak untung, tetapi saya mahu peminat menikmati nilai yang ada dalam album ini terlebih dahulu. Saya tidak fikirkan sangat soal keuntungan kerana rezeki Allah yang beri.
“Buat masa ini saya mahu fokus terhadap penjualan album fizikal terlebih dahulu. Selain mengembalikan nostalgia, saya juga dapat beramah-mesra dan menurunkan tanda tangan di atas cakera padat buat peminat,” tuturnya.
Sumber: https://www.kosmo.com.my/2022/03 ... rus-menongkah-arus/
|
|