Johor Bahru: Seorang wanita dikompaun kerana hadir ke pusat mengundi dalam tempoh kuarantin selepas disahkan positif Covid-19.
Wanita berusia lingkungan 30-an yang juga pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.
Tindakan diambil Inspektor Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru selepas membuat pemeriksaan aplikasi MySejahtera wanita terbabit yang menunjukkan tanda merah semasa tiba di Dewan Kampung Melayu Majidee untuk membuang undi.
Wanita itu memberikan alasan tidak mengetahui bahawa individu yang masih menjalani kuarantin dilarang hadir membuang undi.
Dia mendakwa berlaku salah faham selepas ada pihak memberitahunya masih boleh mengundi walaupun dalam tempoh kuarantin.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Datuk Dr Aman Rabu berkata, kompaun dikeluarkan terhadap wanita itu pada jam 11.45 pagi atas kesalahan pengundi positif Covid-19 hadir ke tempat mengundi.
"Siasatan awal mendapati wanita itu positif Covid-19 kategori dua.
"Adalah diingatkan bahawa individu positif dilarang keluar dari tempat isolasi. Kegagalan mematuhi arahan ini boleh dikenakan kompaun di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya menerusi kenyataan di sini.