Johor Bahru: Walaupun sibuk dengan majlis persandingan, pasangan pengantin baharu dari Kampung Dato Sulaiman Menteri di sini, tidak mahu melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pereka grafik, Zaimah Nassir, 27, yang ditemani, pasangannya Faiq Basri, 29, yang juga pegawai kerajaan tiba di pusat mengundi Dewan Kampung Melayu, kira-kira jam 4 petang tadi.
Ketibaan kedua-dua mempelai di pusat mengundi berkenaan dengan lengkap berpakaian pengantin berwarna putih gading itu mendapat perhatian pengundi lain yang turut mengambil peluang untuk bergambar.
Zaimah ketika ditemui berkata, dia bersyukur apabila dapat menunaikan tanggungjawab mengundi walaupun sibuk mengadakan majlis persandingan mereka.
"Risau juga tak sempat pada mulanya kerana berlaku kesesakan jalan di kawasan rumah untuk ke sini.
"Sebenarnya, kami sudah menetapkan tarikh persandingan lebih awal dan sudah mengedarkan kad jemputan sebelum tarikh PRN diumumkan.
"Selepas berbincang dengan keluarga, kami sepakat meneruskan majlis persandingan hari ini kerana segala persiapan sudah dilakukan," katanya ketika ditemui sebaik selesai mengundi.
Sementara itu, Faiq berkata, mereka akan bergegas ke pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja pula bagi membolehkannya mengundi.
"Saya harap sempat tiba ke pusat mengundi di Parit Raja sebelum jam 6 petang," katanya.