Difahamkan sejak puluhan tahun lalu, lebih 85 peratus perniaga di arked berkenaan dikuasai warga asing dari Thailand yang menyewa tapak perniagaan daripada warga tempatan.
Bagaimanapun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan pintu sempadan negara sebelum ini membantu ‘membersihkan’ peniaga warga Thailand yang sejak sekian lama memonopoli perniagaan di arked niaga Padang Besar tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ruslan, 42, berkata, sejak pintu sempadan ditutup lebih dua tahun lalu, kawasan membeli-belah terkenal itu kembali dipenuhi warga tempatan dan perkembangan itu sangat baik.
Katanya, dia bimbang, apabila sempadan dibuka selepas ini, lebih ramai peniaga warga Thailand akan kembali memenuhi ruang niaga di arked niaga Padang Besar dan kompleks beli-belah Padang Waremart.
“Kawasan ini (arked niaga Padang Besar) pernah ‘mati’ sebelum ini selepas kerajaan melaksanakan PKP dan ramai peniaga dari negara jiran yang beroperasi di sini tidak dapat melintasi sempadan pada masa itu.
“Kemudian, apabila kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dan ramai peniaga tempatan mendapat peluang mencari rezeki berniaga di sini. Saya harap meskipun sempadan dibuka selepas ini, biarlah peniaga tempatan yang berniaga di sini,” katanya.
Tambahnya, penduduk sekitar juga mula mengambil peluang mencari rezeki kerana menyedari Padang Besar adalah ‘lubuk emas’ yang selama ini dimonopoli peniaga negara jiran.
Sementara itu, katanya, pembukaan semula sempadan akan memberi kelebihan kepada pertambahan tenaga kerja selain lebih banyak kedai dibuka dengan pelbagai barangan dari negara jiran itu dapat dibawa masuk.
“Namun jika difikirkan semula, berapa banyak daripada setiap sen yang dibelanjakan pembeli kembali menjadi hasil negara menerusi kutipan cukai?
“Jika barangan dagangan dibawa masuk dari negara jiran, gaji dibayar kepada warga Thailand, aliran mata wang negara turut sama pergi ke sana berbanding jika dibelanjakan kepada kedai milik penduduk tempatan,” katanya.
Menurut Ruslan lagi, isu Padang Besar dimonopoli peniaga Thailand selama ini adalah disebabkan ramai peniaga tempatan yang memperolehi tapak perniagaan menyewakan kepada peniaga dari Thailand.
“Mereka (peniaga dari Thailand) sanggup membayar wang deposit sehingga satu hingga dua tahun selain sewa bulanan yang tinggi bagi mendapatkan tapak perniagaan di sini.
“Mereka juga sanggup membayar dengan harga tinggi yang mana peniaga tempatan tidak mampu bersaing dengan mereka menyebabkan tapak perniagaan ini dipenuhi peniaga dan pekerja warga Thailand selama ini,” ujarnya. –
UTUSAN ONLINE