Dua pegawai sukan Negeri Sembilan direman di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, selepas disyaki Membuat tuntutan palsu berjumlah RM17,280 kononnya untuk latihan sukan boling bagi pasukan Tenpin Boling Negeri Sembilan tiga tahun lalu. FOTO Ahmad Hasbi
Seremban: Membuat tuntutan palsu RM17,280 kononnya untuk latihan sukan boling bagi pasukan Tenpin Boling Negeri Sembilan tiga tahun lalu, namun latihan berkenaan tidak dijalankan.
Kesalahan itu disyaki dilakukan dua pegawai sukan Negeri Sembilan berusia 43 dan 56 tahun pada penghujung 2019 sebelum ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ketika hadir di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, semalam.
Dua individu itu direman bermula hari ini hingga Selasa depan selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd Firdaus Salleh di Mahkamah Majistret Seremban, di sini, hari ini.
Permohonan sebelum itu dibuat Penolong Penguasa SPRM, Muhammad Shahrul Nizam Mohd Mokhtar.
Difahamkan pada September hingga Disember 2019, kedua-dua suspek bersama seorang lagi bersubahat mengemukakan tuntutan palsu membabitkan latihan sukan boling atas nama Pasukan Tenpin Boling Negeri Sembilan bagi persediaan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 kepada Majlis Sukan Negeri Sembilan.
Nilai keseluruhan tuntutan dibuat pada 2019 itu ialah RM17,280, tetapi latihan itu tidak dijalankan.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.
Disiarkan pada: Februari 23, 2022 @ 4:13pm
|